Pilih Bahasa

Kajian Semula Kurikulum UMS Perkasa Kebolehpasaran Graduan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menekankan tiga aspek utama dalam kajian semula kurikulum bagi memperkasa kebolehpasaran graduan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr. Rasid Mail berkata, tiga aspek itu meliputi penambahbaikan dari segi kandungan program yang ditawarkan, menambah baik sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kemudahan infrastruktur.

Prof Dr Rasid Mail. Gambar Fail SNT

“Kandungan program-program akademik diteliti secara terperinci untuk memastikan segala penambahbaikan yang dilaksana seiring dengan perkembangan industri semasa ke arah Revolusi Industri (IR) 4.0. Ia juga untuk memastikan kurikulum tersedia masa hadapan (future proof curriculum) ditawarkan dalam semua program pengajian di UMS.

“Dalam masa yang sama, kita mahu silibus kurikulum adalah berorientasikan kepada pasaran kerja terkini sekali gus melahirkan graduan yang mampu menyesuaikan diri dengan cabaran di alam pekerjaan serta menepati ciri-ciri pekerja yang diperlukan majikan,” katanya dalam satu temu bual khas bersama media.

Menurut Rasid, para pensyarah juga disaran menjadi lebih kreatif dan mempunyai kemahiran pedagogi yang berkesan dalam sistem penyampaian bagi memastikan para pelajar seronok dan mudah faham sewaktu menghadiri kuliah. Kaedah konvensional pengajaran dan pembelajaran akan digantikan dengan pendekatan fleksibel dan berasaskan teknologi, sesuai dengan perubahan demografi para mahasiswa.

Di samping itu katanya, pembelajaran teradun (blended learning) turut dijadikan sebagai salah satu pendekatan wajib seiring dengan perkembangan teknologi digital.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih fleksibel yakni bukan hanya berlaku dalam bilik kuliah tetapi juga secara atas talian,” jelasnya yang berasal dari Bongawan Sabah. “Hal ini juga merangkumi aspek penilaian, penaksiran dan pemarkahan yang berasaskan hasil pembelajaran (OBE)” tambahnya lagi.

Mengulas mengenai aspek ketiga iaitu peningkatan kemudahan infrastruktur, Rasid yang juga Pensyarah Program Perakaunan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS memaklumkan bahawa enam bilik Kelas Pintar (Smart Classroom) akan siap dibina menjelang akhir tahun 2019.

“Buat masa ini kita sudah mempunyai tiga Kelas Pintar iaitu masing-masing di Kampus Utama Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

“Apabila siap nanti, UMS akan mempunyai sembilan Kelas Pintar selain pewujudan pusat-pusat pembelajaran pelajar (SCL) di setiap fakulti, pusat dan institut yang dilengkapi dengan prasarana yang serba lengkap,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai perwatakan ceria dan peramah turut menyatakan bahawa kurikulum baharu itu kelak bermatlamat untuk mengurangkan bebanan jam kredit dengan pengstrukturan semula pembelajaran yang lebih interaktif, praktikal dan menumpu kepada keperluan industri.

“Sistem 3U1i dan 2U1i akan mula diperkenalkan secara berperingkat iaitu para pelajar peringkat sarjana muda mengikuti pengajian tiga atau dua tahun di universiti dan kemudiannya setahun di industri.

“Sangkutan selama setahun di industri akan memberi nilai tambah kepada bakal graduan sekali gus berperanan sebagai pelantar menghasilkan ‘The future-proof graduate’ yang disasarkan oleh UMS,” tambahnya dengan senyuman ikhlas.