Pilih Bahasa

KES JENAYAH BERAT BERSILIH GANTI MELIBATKAN WARGA ASING MEMBIMBANGKAN: KETUA PEMUDA UPKO

Oleh Chris Maskilone


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Upko memandang serius beberapa siri kes jenayah berat kebelakangan ini melibatkan warga asing di Sabah.

Ketuanya, Felix Joseph Saang berkata Pemuda Upko mengikuti perkembangan itu dengan dekat dan merasakan ianya amatlah membimbangkan.

“Kes jenayah bersilih ganti dan kita baru berada dalam bulan pertama tahun 2019,” katanya.

Antara kes yang menggemparkan ialah cubaan rompakan kedai emas menggunakan bahan letupan di Segama, kanak-kanak dijadikan tebusan di Telipok Ria dan selepas itu seorang pengusaha homestay pula ditetak di Tamparuli.

Felix Joseph Saang. Gambar Fail SNT

“Bagaimanapun, Pemuda Upko amat berterima kepada pihak polis yang cekap dalam penyiasatan kes-kes terbabit,” katanya.

“Apa yang Pemuda Upko risaukan ialah hampir kesemua jenayah ini membabitkan warga asing,” katanya, sambil menambah kehadiran mereka dalam negara ini harus dibendung.

“Ia adalah satu rahsia terbuka di mana kebanyakan mereka telah mendapat dokumen pengenalan Malaysia melalui pintu belakang,” katanya.

Beliau mengimbas kembali kata-kata seorang mantan Pesuruhjaya Polis Sabah bahawa pendatang tanpa izin adalah punca kepada segala masalah di Sabah.

Oleh itu, Felix berkata ini memperkuatkan cadangan Upko agar semula semua kad pengenalan yang dikeluarkan di Sabah ditarik balik untuk didaftarkan semula.

“Dengan cara ini pihak berkuasa boleh mengenalpasti kesahihan pemegang dokumen tersebut. Ini adalah sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi.

“Penarikan balik kad pengenalan Malaysia boleh memastikan integriti dokumen pengenalan diri tersebut. Mana-mana yang meragukan pasti boleh dikesan dan diambil tindakan,” katanya.

Menurutnya, Pemuda Upko juga faham bahawa masalah yang telah melanda Sabah berdekad lamanya tidak akan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Namun kita merasakan perlu ada langkah drastik dan penyelesaian yang meyakinkan dari pihak Kerajaan.

“Apa yang penting ialah penyelesaian jangka masa panjang, jikalau tidak kita akan terus seperti telur dihujung tanduk,” katanya.-SabahNewsToday