Pilih Bahasa

10 pam air dipasang tanpa ikut spesifikasi disita

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pam air yang dipasang di premis sekitar Fajar Tawau disita oleh Jabatan Air Bahagian Tawau. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Air Tawau

TAWAU: Jabatan Air daerah ini menyita sebanyak 10 pam air yang dipasang tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan di beberapa premis sekitar Fajar di sini semalam. 

Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen berkata dalam operasi pukul 9.10 pagi itu, tindakan memotong dan menyita pam air dijalankan susulan laporan awam yang mendapati tekanan air yang dibekalkan ke premis mereka adalah rendah.

“Kita mendapati 10 premis menggunakan pam air terus dari meter hingga menyebabkan beberapa premis berhampiran mengalami gangguan bekalan air. 

“Cara yang betul adalah bekalan air dari meter perlu sampai ke tangki simpanan terlebih dahulu dan dari tangki baru boleh guna pam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan kepada pemilik premis supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak jabatan tersebut.

Jelasnya amaran tegas juga diberi kepada mana-mana individu mahupun syarikat yang dikenakan tindakan kompaun sebelum ini supaya menjelaskan bayaran kompaun dengan segera sebelum pihak Jabatan Air mengambil tindakan mahkamah dan akan menyulitkan lagi proses membuat penyambungan meter baharu.

Katanya semua pam air berkenaan disita dan disiasat mengikut Seksyen 56 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003. – SabahNewsToday