Pilih Bahasa

10 peserta akhir Sugandoi Kaamatan Negeri bakal berentap di pentas akhir

Oleh Alfred Petrus

10 peserta Sugandoi Kaamatan berjaya ke peringkat akhir. Gambar SNT/Alfred Petrus

PENAMPANG: Seramai 10 peserta Sugandoi Kaamatan Negeri 2019 berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir selepas bertanding di pusingan separuh akhir di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), hari ini.

Antara peserta yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir adalah Adrian Daulo mewakili Karamunting, Dabra Sia Ying Ying (Kadamaian), Erney Leonard Alai (Bingkor), Eylia Eyre Guntabid (Luyang), Joyce Rufiona Juanis (KDCA Pulau Pinang), Mamat San Ambu, Tanjong Aru, Nadiatul Azia Donatus (Karanaan), Nor Ain Awang Damit @ Hassan (Karambunai), Presley Petrus (KDCA Labuan) dan Ronn Langad (Tambunan).

Pada pertandingan separuh akhir tersebut, kesemua 30 peserta yang bertanding diwajibkan membawakan sebuah lagu yang sama dinyanyikan pada peringkat suku akhir yang diadakan pada 25 Mei.

Namun, pada pentas akhir kelak, 10 finalis diwajibkan membawa dua buah lagu berbahasa Kadazan, Dusun atau Murut (KDM) yang mana salah satunya adalah lagu-lagu songkotoun yang akan diadakan pada 28 Mei bermula pukul 6 petang.

Pada peringkat akhir pertandingan juga, peserta akan diiringi dengan kumpulan Mini Orkestra dan dibenarkan membuat susunan gubahan muzik medley kedua-dua laku pilihan masing-masing bagi merebut gelaran juara Sugandoi Kaamatan Negeri yang ke-31. -SabahNewsToday