Pilih Bahasa

100 AJK Cabang, Wanita dan AMK PKR bahagian Keningau terima watikah pelantikan

KENINGAU: Seramai 100 orang Ahli Jawatankuasa Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) P.180 Keningau menerima watikah pelantikan dalam pelbagai jawatan dan bidang tugas masing-masing, yang diadakan di salah sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Ketua Cabangnya, Datuk Dr Sangkar Rasam berkata dengan terlaksananya penyampaian watikah tersebut diharap mereka yang dilantik dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaiknya serta tidak hanya mengharapkan AJK tertentu sahaja untuk menjalankan tugas.

Sangkar (baris hadapan tengah) bersama AJK parti PKR Keningau selepas majlis itu. Gambar SNT/Ihsan kgufm

Katanya sebagai satu kumpulan perlu berkerjasama dalam melaksanakan tugas yang dirancang untuk mencapai matlamat perjuangan parti mengikut jangka masa yang telah ditetapkan agar parti dapat terus maju kehadapan.

Selain itu katanya sebagai satu kumpulan mereka perlu berkerja secara berpasukan dan mengelakkan buruk sangka dan menjatuhkan sesama ahli dalam parti.

Jelasnya, persaingan antara ahli parti memang diperlukan akan tetapi biarlah dilakukan secara sihat dan betul.

Beliau turut mengingatkan agar setiap ahli perlu bersatu sebagai satu kumpulan dan mengelakkan perpecahan sehingga terbentuknya kumpulan-kumpulan dalam parti khususnya dalam Cabang PKR Parlimen Keningau.

Sangkar (tiga dari kiri) mnyampaikan watikah kepada Jaurin Madasin, setiausaha PKR cabang Keningau.Gambar SNT/Ihsan kgufm

Beliau turut menyeru kepada ahli agar dapat mengawal emosi dan menjaga budi bahasa dalam media sosial.

“Dalam politik tidak dinafikan banyak perkara yang menyakitkan hati, namun emosi perlu dijaga terutamanya dalam memberi ulasan kepada berita-berita dan kenyataan-kenyataan oleh pihak tertentu dalam media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan AJK Cabang, Wanita dan AMK Parti Keadilan Rakyat P.180 Keningau 2019, di salah sebuah hotel, di sini pada Isnin.

Tambahnya, beliau akan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan teguran daripada ahli parti. 

“Cadangan-cadangan ini akan kita nilai dan jika ianya baik dan mampu dilaksanakan kita akan laksanakan dan begitu juga dengan teguran, saya akan sentiasa terbuka untuk menerima teguran demi kebaikan semua,” katanya. -SabahNewsToday