Pilih Bahasa

1,000 anggota PDRM Sabah bertugas pada PRK Sandakan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Omar Mammah. – Gambar fail SNT

KOTA KINABALU: Kira-kira 1,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan bertugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Sabtu ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata jumlah anggota bertugas itu  selepas mengambil kira keperluan anggota yang bertugas semasa hari pengundian yang sedikit berbeza.

“Kita harus mengawal beberapa tempat pembuangan undi dan tempat penjumlahan undi bagi mengelakkan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Penugasan anggota juga dibuat selepas pengumuman dilaku untuk memastikan keadaan terus terkawal,” katanya kepada pemberita semasa memaklumkan situasi semasa sepanjang PRK Sandakan, di sini semalam.

Dalam pada itu, Omar berkata pilihan raya serta proses berkempen ketika ini tidak menjejaskan perintah berkurung di sekitar Sandakan.

Menurut beliau perintah berkurung hanya dilaksanakan di kawasan perairan sahaja dan semua lokasi kempen tidak memasuki lokasi perintah berkurung sekaligus tiada sebarang pelanggaran terhadap arahan berkenaan.

Beliau turut menyatakan setakat ini juga tiada sebarang makluman berkaitan prosea kempen dibuat di pulau-pulau berhampiran.

Sementara itu, Omar meminta semua calon, wakil calon dan penyokong agar sentiasa mematuhi serta menghormati peraturan ditetapkan tanpa provokasi yang boleh menimbulkan pergaduhan atau mengancam keamanan.

“Orang awam juga diminta supaya tidak mudah mendengar khabar angin atau fitnah yg disebarkan sepanjang PRK ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata orang awam boleh menghubungi pihak polis berhampiran sekiranya mempunyai kemusykilan khususnya berkaitan keadaan keselamatan di sekitar Sandakan. – SabahNews Today