Pilih Bahasa

1,000 bubur lambuk diagih dalam Program Iftar dan Amal Ziarah Ramadan

Oleh Zakaria Damit

Wakil NGO yang bergabung tenaga dalam Program Iftar dan Amal Ziarah Ramadan 2019. – Gambar SNT/Zakaria Damit

TUARAN: Sebanyak 1,000 bubur lambuk diagihkan kepada penerima di Hospital Tuaran, Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Balai Polis Daerah Tuaran dan kawasan sekitar pasar di daerah ini dalam Program Iftar dan Amal Ziarah Ramadan 2019, semalam.

Penyelaras program, Lt Muda Maritim (B) Awil Kamsari berkata program itu telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada 100 wakil daripada 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai latar belakang.

Wakil NGO mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga di pasar Tuaran. – Gambar SNT/Zakaria Damit

Awil berkata program itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama peserta yang terlibat, memupuk semangat kerjasama dan kasih sayang, mendidik amalan beramal dan bersedekah mengikut kemampuan serta memastikan amalan ziarah dapat dikekalkan.

“Acara menyediakan juadah untuk berbuka secara gotong-royong dan majlis berbuka puasa adalah aktiviti penutup pada program yang diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Tuaran.

Aktiviti memasak bubur lambuk oleh NGO yang terlibat diadakan di perkarangan Pejabat Daerah Tuaran. – Gambar SNT/Zakaria Damit

“NGO yang terlibat berpuas hati dan gembira di atas kejayaan dan kelancaran program tersebut serta berharap program seperti itu akan berterusan dan dipelbagaikan tidak tertumpu kepada aktiviti di bulan Ramadan sahaja,” katanya.

Awil berkata kerjasama dan penglibatan semua pihak amat dihargai dalam memastikan kelancaran program kebajikan sempena Ramadan kali ini.

Bubur lambuk diagihkan kepada para pengguna jalan raya wakil NGO dalam Program Iftar dan Amal Ziarah Ramadan 2019. – Gambar SNT/Zakaria Damit

Dalam pada itu beliau berharap lebih ramai pihak NGO, individu dan wakil kerajaan mahu pun swasta turut serta dalam program sama pada masa akan datang. – SabahNewsToday