Pilih Bahasa

1,000 murid di kawasan Dun Kadamaian terima beg sekolah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ewon (tengah) bergambar bersama guru-guru besar dan sebahagian murid-murid yang menerima sumbangan. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Kira-kira 1,000 murid daripada 11 buah sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun)  Kadamaian menerima sumbangan beg dan peralatan sekolah daripada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Majlis pengagihan sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick di Dewan Kadamaian Square di sini, hari ini.

Ewon berkata beliau telah mengadakan perbincangan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon tahun lalu bagi mengemukakan permohonan bantuan beg sekolah untuk murid-murid yang memerlukan di kawasannya kepada kementerian berkenaan.

“Dalam perbincangan awal, kita khususkan penerima sumbangan itu adalah daripada sekolah kurang murid bagaimanapun ada tiga buah sekolah yang tidak tersenarai sebagai penerima pada fasa pertama ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas, SK Kaung Ulu dan SK Gonsurai. 

“Sekolah-sekolah itu termasuk dua lagi sekolah adventis kawasan Dun Kadamaian akan menerima sumbangan yang sama pada fasa kedua nanti,” katanya ketika berucap pada majlis Pengagihan Beg Sekolah kepada Sekolah-Sekolah Kurang Murid.

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada guru besar sekolah yang menerima bantuan. Turut kelihatan Margaret (dua dari kanan). – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Margaret Cornilius; Ketua Seksyen Perkhidmatan Bantuan Sosial, Jane Polus Masundang; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Junaiddi Sualin; PPM Kadamaian, Saikom Watis dan guru-guru besar sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM3,000 kepada kontinjen Zon Selatan yang akan menyertai kejohanan sukan Majlis Sukan-Sukan Sekolah peringkat Daerah, termasuk membeli baju khas bagi kontinjen perbarisan.

Program penyampaian sumbangan yang julung kalinya dilaksanakan di Dun Kadamaian khusus untuk sekolah kurang murid itu bertujuan meringankan bebanan para ibu bapa menyediakan keperluan sekolah  anak-anak mereka pada seisi persekolahan tahun ini.

Beliau juga mahu agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang khususnya bagi membantu rakyat kurang berkemampuan. – SabahNewsToday