Pilih Bahasa

10,000 meriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Kontinjen perbarisan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim). – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 masyarakat pelbagai latar belakang termasuk pelancong luar negara membanjiri dataran bandaraya Jalan Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu di sini seawal 6 pagi bagi menyaksikan acara  warna warni sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah.

Sebanyak 172 kontinjen dengan seramai 8,500 peserta mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta barisan Kabinet negeri.

Tun Juhar memeriksa barisan Kawalan Kehormatan Utama pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah 2019 di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri yang juga pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) dan Pengerusi Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, Datuk Peter Anthony.

Menariknya perarakan tahun ini buat kali pertama disertai pasukan bola sepak Sabah atau dikenali sebagai Tambadau yang menjuarai Liga Perdana Malaysia musim ini dan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri 2019.

Mohd Shafie meluangkan masa untuk bersalam dengan pengunjung yang hadir menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Ke-62 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Skuad Tambadau diketuai oleh Ketua Jurulatihnya, Jelius Ating turut membawa Piala Liga Perdana yang dimenangi buat tatapan orang ramai manakala barisan Unduk Ngadau ayu berpakai tradisional etnik Kadazandusun dan Murut. 

Terdahulu acara perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu bermula kira-kira pukul 7.30 pagi sejurus ketibaan  Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) turut menyertai perarakan pada Hari Kebangsaan Ke-62 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sebaik tiba acara lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan dan setelah itu perarakan Jalur Gemilang dimulakan oleh Tentera Darat Malaysia dan Bendera Sabah oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia diikuti perarakan masuk seterusnya oleh 172 kontinjen lain yang terdiri daripada agensi dan jabatan kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan pasukan beruniform.

Dua buah helikopter dari Unit Udara JBPM dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah yang melakukan lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2019. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Turut diadakan upacara menaikkan Jalur Gemilang disertai lafaz ikrar dan persembahan koir oleh Dewan Bandaraya Kota KInabalu yan membawakan lagi Malaysia Tanah Airku, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta dan Malaysia Bersih.

Selain persembahan kebudayaan, penganjur turut  Puisi Khas sempena Hari Kebangsaan bagi menyemai perasaan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini. – SabahNewsToday