Pilih Bahasa

102 lokasi sekitar Kota Kinabalu sudah jalani proses nyah kuman

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 102 lokasi awam sekitar bandar raya ini sudah melalui proses nyah kuman setakat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga.

Antara lokasi terbabit termasuklah beberapa pasar awam, masjid, surau dan bangunan jabatan kerajaan.

Petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK melakukan disinfeksi di kawasan kaki lima Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata langkah terbabit diambil sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Semua pasar awam sekitar bandar raya ini menjalani proses nyah kuman setiap hari dalam memastikan tiada sebarang penular wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Enam pasar awam terbabit adalah Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Tanjung Aru, Pasar  Sembulan, Pasar Inanam, Pasar Menggatal dan Pasar Telipok.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Nordin Siman pada sidang media operasi disinfeksi DBKK di Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Langkah ini diambil berikutan pasar ialah salah satu lokasi tumpuan awam setiap hari untuk membeli barangan keperluan.

“Oleh itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil pencegahan awal seumpama ini setiap hari,” katanya ketika sidang media selepas Operasi Disinfeksi Kawasan Kaki Lima dan Tempat Letak Kereta Pusat Bandar Raya, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Ag Alip.

Petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK melakukan disinfeksi di kawasan kaki lima Pasar Besar Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, ditanya mengenai kepatuhan dalam kalangan orangan awam, beliau menyatakan pihaknya melihat tahap pematuhan pelanggan apabila datang ke pasar awam kini berada pada tahap baik.

“DBKK sentiasa meningkatkan pemantauan di kawasan pasar agar tidak ada pelanggan yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Anggota RELA bertugas juga diarahkan untuk memeriksaan suhu badan setiap pelanggan yang hendak masuk ke dalam pasar selain wajib memakai penutup mulut dan hidung serta cecair basmi kuman,” katanya. -SabahNewsToday