Pilih Bahasa

10,440 anak Sabah dapat pekerjaan melalui Karnival Kerjaya Januari – Jun

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sejumlah 10,440 penempatan kerja telah berjaya diberikan kepada anak-anak Sabah melalui program Karnival Pekerjaan yang diadakan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi, Mohammad Mohamarin berkata jumlah berkenaan adalah sebagai usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.

“Pada 2018, Sabah mencatatkan bilangan pengangguran seramai 112,100 orang atau 5.8 peratus dan kementerian saya melalui Jabatan Tenaga Kerja terus komited membantu para pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pelaksanaan Karnival Pekerjaan pada tahun ini di beberapa lokasi seluruh negeri juga bagi membantu pencari kerja mandapatkan pekerjaan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta pedalaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Matbali Musah (Bersatu-Lumadan) berkenaan usaha yang dilakukan Kementerian Pelajaran dan Inovasi (K-Pi) bagi mengatasi masalah penganguran anak Sabah, di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Katanya sejak Mac sehingga April tahun ini mencatatkan seramai 2,995 pencari kerja yang berjaya menerima tawaran pekerjaan daripada pihak majikan.

“Pada 9 Mei 2019, Karival Pameran dan Kerjaya di peringkat Sandakan anjuran bersama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Sbaah telah diadakan dan berjaya menempatkan peluang pekerjaan seramai 96 orang.

“Jabatan Tenaga Kerja juga bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) mengadakan Program Kembara Kerjaya Sabah 209 yang menjelajah ke enam buah daerah di seluruh negeri.

“Program ini telah berjaya menempatkan seramai 4,042 pencari kerja. Program Kembara Kerjaya Siri Dua, 2019 akan diadakan pada 19 hingga 23 Ogos di bandaraya Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau,” katanya. -SabahNewsToday