Pilih Bahasa

11 laporan polis dibuat sepanjang PRK Sandakan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 11 laporan polis dibuat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan sejak 27 April lalu.

Menerusi jumlah berkenaan, hanya lima kertas siasatan dibuka manakala laporan selebihnya didapati tiada unsur jenayah.

Omar Mammah (tengah). Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata salah satu kertas sisatan yang dibuka adalah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu menjalankan kempen tanpa permit.

“Terdapat juga dua kes khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Satu lagi kes khianat bawah Seksyen 426 iaitu kerugian ke atas kain rentang tidak lebih RM25.

“Selain itu, satu kes membabitkan kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat atau membangkitkan pecah keamanan yang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

“Pengadu membuat satu laporan polis memaklumkan ternampak satu kain rentang bersaiz besar terdapat wajah sorang pengacara tv serta calon bertanding yang mempunyai tulisan dianggap fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkaitan situasi semasa PRK Parlimen Sandakan, di sini, hari ini.

Omar berkata pihaknya merujuk kes di bawah Seksyen 24B(3) Kanun Keseksaan kepada pejabat Timbalan Pendakwah Raya pada 6 Mei lalu dan memutuskan tiada kes serta tiada tindakan lanjut.

“Kita juga merujuk dua kes yang disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan juga sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwah Raya pada tarikh sama dan keputusan turut menyatakan semua berkenaan tiada tindakan lanjut.

“Dua lagi kes di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyatakan secara keseluruhannya situasi sepanjang PRK Parlimen Sandakan kini masih dalam keadaan terkawal. -SabahNews Today