Pilih Bahasa

11 notis dikeluarkan gagal patuh peraturan pembinaan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Sebuah tapak pembinaan diberi 11 notis atas pelbagai kesalahan selepas dikesan gagal mematuhi peraturan pembinaan, di sini kelmarin.

Operasi Bersepadu berkenaan dijalankan bersama tujuh agensi dengan kekuatan 36 anggota, kira-kira pukul 10 pagi.

Penguatkuasa CIDB menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja di tapak pembinaan berkenaan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Agensi yang terbabit adalah Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesihatan Tawau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.

Pengurus Cawangan CIDB Tawau, Hassan Ismail berkata dua notis dikeluarkan oleh CIDB untuk hadir ke pejabat bagi urusan personel binaan.

“Seramai 50 pekerja diperiksa di tapak pembinaan berkenaan. Daripada jumlah itu, 15 pekerja berdaftar sebagai personel binaan manakala 35 lagi tidak berdaftar.

Penguatkuasa CIDB mengarahkan pekerja mengeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah dan kad pekerjaan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Justeru itu, kita mengeluarkan dua notis kepada kontraktor untuk hadir ke pejabat CIDB.

“Sembilan lagi notis dikeluarkan atas kesalahan antaranya pembiakan nyamuk di tapak pembinaan, tidak membuat caruman kepada pekerja, kren tidak mematuhi undang-undang dan kesalahan berhubung elektrik,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

Sekitar Operasi Bersepadu yang dijalankan CIDB bersama tujuh agensi lain pagi tadi. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau turut menggesa pemain industri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Saya menggesa pemain industri dapat mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan berdasarkan Akta 520.

“CIDB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi Akta 520. CIDB berharap agar pemain industri boleh melaksanakan pematuhan akta secara pengawal seliaan sendiri,” katanya. – SabahNewsToday