Pilih Bahasa

11 sekeluarga cemas, rumah hampir roboh di Sipitang

Oleh Junaidi Ladjana

SIPITANG: Tidur lena 11 sekeluarga di Kampung Palakat, di sini, terganggu apabila rumah didiami mereka tiba-tiba condong dan hampir roboh, malam Isnin.

Kejadian itu disedari jam 11.30 malam selepas terdengar bunyi bising yang kuat dan menyedari rumah didiami condong lalu bertindak keluar menyelamatkan diri.

Pasukan bomba membantu mengeluarkan barang-barang milik penghuni selepas rumah berkenaan hampir roboh dan tidak selamat diduduki. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Difahamkan, keluarga terbabit menumpang di rumah ketua kampung kerana bimbang rumah mereka akan roboh dan bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Janil Jaya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 8.33 pagi tadi sebelum sepasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian.

Katanya setibanya di tempat kejadian, mendapati rumah berkenaan hampir roboh lalu pasukan bomba membuat pengstabilan untuk mengeluarkan motosikal dan barang peribadi penghuni rumah berkenaan.

“Pasukan bomba turut menyelamat anak-anak kucing yang terperangkap sehingga kerja-kerja penyelamatan selesai.

Penghuni bersama kucing yang diselamatkan pasukan bomba. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan setakat ini rumah berkenaan diklasifikasikan sebagai tidak selamat untuk didiami,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi membabitkan tujuh anggota dan pegawai serta sebuah jentera LFRT. – SabahNewsToday