Pilih Bahasa

11 sekolah, 16 organisasi kebajikan terima bantuan daripada tabung amal Excelrun Sdn Bhd

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Wakil 11 buah sekolah dan 16 buah organisasi kebajikan yang menerima bantuan daripada Excelrun Sdn Bhd diraikan sempena majlis sambutan ulang tahun Tabung Amal Pendidikan dan Kebajikan RM2.5 Juta Exelrun. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Excelrun Sdn Bhd menyumbang sebanyak RM270,000 kepada 11 buah sekolah swasta dan bantuan kerajaan serta 16 organisasi kebajikan di negeri ini sempena ulang tahun kesembilan penubuhan Tabung Amal Pendidikan dan Kebajikan RM2.5 Juta Excelrun.

Pengurus Besarnya, Juliet Lo berkata pihaknya memilih tema `We Care, We Share and We Transform’ sempena program itu pada tahun ini.

Juliet Lo (duduk, tengah) bersama sebahagian penerimaTabung Amal Pendidikan dan Kebajikan RM2.5 Juta Exelrun. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Menurutnya Excelrun berharap program kebajikan yang dilaksanakan bagi tempoh 2011 hingga 2020 itu akan dapat membawa perubahan positif dan kebaikan kepada penerima bantuan tersebut.

“Kami percaya program kebajikan yang kami laksanakan terdahulu termasuk penyampaian derma sebanyak RM3.061 juta hari ini akan memberikan impak positif buat mereka yang memerlukan.

“Ia merupakan salah satu matlamat murni syarikat ini untuk meringankan beban dan memenuhi keperluan organisasi kebajikan mahupun sekolah-sekolah yang hadir pada hari ini selaku penerima,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di sini hari ini.

Di samping itu beliau berkata beberapa pelajar miskin dan kurang berkemampuan daripada 11 buah sekolah itu turut menerima bantuan kewangan untuk membiayai yuran persekolahan mereka.

Juliet menjelaskan salah satu cara untuk mengubah kehidupan sesebuah keluarga yang lebih baik adalah menerusi bidang pendidikan.

Bagi organisasi kebajikan pula, beliau berharap lebih banyak aktiviti serta kempen kemasyarakatan akan dirancang dan diteruskan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya sikap saling membantu dalam kehidupan.

Katanya syarikat itu telah menubuhkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan menubuhkan tabung amal itu pada Januari 2010.

Menurut beliau syarikat itu pada mulanya telah menjanjikan sejumlah RM2 juta ke dalam tabung itu yang akan diagihkan kepada pelbagai sekolah dan organisasi kebajikan dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2011 hingga 2020.

Walau bagaimanapun, selepas mengagihkan RM600,000 dalam tempoh tiga tahun, syarikat itu menyedari bahawa lebih banyak dana diperlukan untuk membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dan memutuskan untuk menambah sebanyak RM500,000 ke dalam tabung amal tersebut. – SabahNewsToday