Pilih Bahasa

1,123 pencalonan dapat `lampu hijau’ bertanding bagi pemilihan peringkat bahagian Bersatu Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Awang Shamsi (tengah) bersama barisan JPP selepas sesi sidang media di pejabat Bersatu Sabah. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Sabah

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (Bersatu) Sabah telah menerima jumlah pencalonan sebanyak 1,156 bagi kesemua jawatan yang dipertandingkan di peringkat bahagian.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1123 telah diluluskan daripada kesemua 25 bahagian seluruh negeri setelah tapisan dilakukan oleh jawatankuasa berkenaan.

Pengerusinya, Awang Shamsi Jami berkata seramai 779 calon menang tanpa bertanding manakala baki seramai 344 calon lagi pula akan bertanding di peringkat Bahagian masing-masing.

“Jawatan badan pimpinan tertinggi Bersatu Sabah adalah kekal dan kesemua pemimpin tersebut menang tanpa bertanding,” katanya dalam sesi sidang media khas di Pejabat Bersatu Sabah di sini, pagi tadi.

Menurut Awang Shamsi, pencalonan diterima berdasarkan kepada hasil tapisan daripada pihak JPP Pusat dengan merujuk kepada tiga syarat kelayakan.

Syaratnya tersebut ialah calon mesti menjadi ahli tidak kurang daripada tempoh masa 12 bulan sebelum 15 Februari 2020, pernah memegang jawatan di peringkat jawatankuasa bahagian atau ahli jawatankuasa sayap-sayap bahagian dan telah menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2019.

Jelasnya sebarang bantahan daripada ahli parti yang ingin dikemukan boleh mula dibuat bermula pada masa selepas pengumuman dibuat oleh JPP sehingga 14 Februari ini.

Katanya mMesyuarat Pemilihan Cawangan akan diadakan secara serentak di seluruh negara bermula 15 Februari hingga 29 Mac ini dan di peringkat bahagian pula adalah pada 18 April ini – SabahNewsToday.