Pilih Bahasa

12 PAKEJ PAN BORNEO PERLU DISIAPKAN MENGIKUT TEMPOH DITETAPKAN

Oleh Alfred Petrus

Majlis pertukaran MoU antara CIDB Malaysia dan Borneo Highway PDP Sdn Bhd yang disaksikan oleh Baru (belakang dua kiri). Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pembinaan Projek Mega Lebuh Raya Pan Borneo perlu disiapkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata 12 pakej projek Pan Borneo yang sudah dimulakan itu haruslah diteruskan sehingga ia siap sepenuhnya.

“Projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo ini masih lagi diteruskan seperti biasa seperti yang saya katakan sebelum ini.

Baru (tengah) menyempurnakan gimik Pelancaran MSCESMM. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ia adalah satu projek yang sangat penting kepada Sabah dan Sarawak yang harus kita sempurnakan.

“Kontraktor yang telah diberikan mandat dalam pembinaan Pan Borneo ini pula perlu menyiapkannya mengikut tempoh masaya yang telah diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Malaysia Standard For Civil Engineering Standard Method of Measurement (MSCESMM) di sini pada Selasa.

Katanya pembinaan 12 pakej projek Pan Borneo Sabah juga masih lagi menggunakan konsep Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Berikutan cadangan kerajaan negeri Sabah berkenaan pengambilalihan sepenuhnya pelaksanaan projek tersebut, Baru berkata ia terpulang kepada Kementerian Kewangan untuk menentukan keputusan tersebut.

“Apa-apa pun, kita kena tanya soalan ini kepada kementerian yang berkaitan iaitu Kementerian Kewangan adakah masih menggunakan model (konsep) yang kita bincangkan ini.

“Tetapi yang pasti 12 daripada 35 pakej Projek Mega Lebuh Raya Pan Borneo masih diteruskan di bawah PDP,” jelasnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperkemasakan Malaysian Civil Engineering Standard Method of Measurement (MyCesmm) kepada MSCESMM sebagai usaha meningkatkan standard dalam industri pembinaan Malaysia.

Baru berkata MSCESMM yang kini menggunakan Malaysian Standard (MS) 2701:2018 merupakan standard nasional yang boleh digunapakai bagi kesemua projek di seluruh negara.

“Versi baharu ini mengintegrasikan pelbagai spesifikasi yang wujud di pasaran Malaysia dan menggabungkan amalan industri terbaik, tidak kira sama ada di peringkat antarabangsa, nasional mahupun sesebuh syarikat.

“Dengan penambahbaikan ini, penerbitan MS 2701:2018 akan berfungsi sebagai rujukan awam dan garis panduan bagi penggiat industri,” katanya. -SabahNewsToday