Pilih Bahasa

12 PENAGIH DITAHAN DALAM OP SARANG

Oleh Mohd Adam Arinin

Salah seorang suspek yang diberkas dalam Op Sarang di Kampung Taun Gusi dan Kampung Kuala Abai Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

KOTA BELUD: Seramai 12 penagih dadah diberkas polis dalam serbuan Op Sarang di sini, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata operasi dijalankan di dua buah kampung di Kampung Taun Gusi dan Kampung Kuala Abai oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Belud.

Ujian air kencing dijalankan terhadap suspek penagih dadah yang diberkas polis dalam Op Sarang di Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

“Pihak polis berjaya menahan seramai 21 lelaki yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di dua buah kampung tersebut ketika operasi dijalankan.

“Daripada jumlah yang ditahan seramai 12 individu warga tempatan berumur 17 hingga 50 tahun didapati positif dadah jenis syabu selepas ujian saringan air kencing dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohd Zaidi pihak polis juga turut merampas dadah jenis syabu seberat tiga gram yang dianggarkan bernilai RM450. 

Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sekyen 15(1)(a) akta yang sama. – SabahNewsToday