Pilih Bahasa

12 warga Vietnam ditangkap, tangkap gamat secara haram

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KUDAT: Duabelas warga Vietnam berputih mata selepas ditahan ketika sedang leka memproses gamat (balat) yang disyaki ditangkap secara haram di perairan negara.

Kesemua ditahan di atas dua buah bot berasingan sekitar pukul 8.30 pagi kelmarin di kedudukan 13 Batu Nautika Timur Laut Pulau Tigabu, Kudat.

Gamat yang ditangkap secara haram oleh dua buah bot nelayan tempatan. Gambar SNT/Ihsan APMM

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata bot ronda kedua-dua bot berkenaan diperiksa oleh Maritim Malaysia ketika sedang bersauh tidak jauh diantara satu sama lain.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot terbabit merupakan bot berpendaftaran Malaysia serta kesemua nelayan juga bekerja secara sah berdasarkan kepada dokumen yang dikemukakan.

Antara nelayan warga asing yang ditahan. Gambar SNT/Ihsan APMM

“Ini merupakan kes ketiga yang melibatkan tangkapan gamat di perairan Kudat pada bulan ini.

“Bot-bot seperti ini menggunakan peralatan yang diharamkan. Jika kita lihat pada lesen yang dikeluarkan kepada mereka ialah lesen menangkap ikan menggunakan pukat atau rawai dan bukannya lesen bagi menangguk balat.

“Maritim Malaysia akan pantau perkara ini secara serius dan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Namun, Boon berkata walaupun nelayan terbabit mempunyai lesen, tetapi pihaknya akan membuat siasatan lanjut dan merujuk pada jabatan-jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Bot-bot yang berdaftar itu sepatutnya lebih tahu akan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Pemilik-pemilik bot tempatan yang menggajikan pekerja asing perlu pantau setiap tindakan pekerja mereka,” jelasnya.

Tambahnya pemilik bot tempatan wajib maklumkan kepada pekerja-pekerja mereka tentang peraturan dan undang-undang tempatan dengan jelas sebelum membenarkan mereka mengendalikan bot.

Jelasnya gamat yang dirampas dianggarkan seberat 450 kilogram. Kedua-dua bot beserta kesemua nelayan ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan. -SabahNewsToday