Pilih Bahasa

124 OKP AADK sertai Program Hijau Peringkat Negeri Sabah

Oleh Alfred Petrus

BEAUFORT: Seramai 124 Orang Kena Pengawasan (OKP) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama orang awam melibatkan diri pada pelancaran Program Hijau Peringkat Negeri Sabah anjuran AADK negeri, kelmarin.

Antara lain aktiviti yang dijalankan pada program tersebut seperti Senam Zumba, gotong royong serta penanaman pokok di Taman Tasik Beaufort.

Mohammad (tiga kiri) mengetuai gimik penanaman pokok di Taman Tasik Beaufort. Gambar SNT/Ihsan AADK

Turut hadir merasmikan program berkenaan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohammad Mohamarin.

Mohammad dalam ucapannya berkata penglibatan komuniti setempat dalam program seumpama itu adalah satu usaha yang perlu dipergiatkan agar masyarakat sedar akan tanggung jawab menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Katanya tugasan membanteras gejalah dadah bukan hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi juga masyarakat setempat perlu bekerja sama dalam memberikan maklumat.

“Hal ini kerana, penyalahgunaan dadah bukan hanya sebagai ancaman terhadap kesihatan, tetapi juga menjadi ancaman yang besar kepada kestabilan globalisasi dan pembangunan sosio-ekonomi.

Gotong royong yang dijalankan pada program berkenaan. Gambar SNT/Ihsan AADK

“Sehingga kini, gejalah tersebut masih dianggap sebagai musuh nombor satu negara,” katanya.

Tambahnya kesungguhan kerajaan juga dapat dilihat melalui pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), khususnya di Sabah bagi memastikan setiap sekolah melaksanakan program Pendidikan Dencegahan Dadah (PPDA).

Jelasnya ia bagi memastikan setiap pelajar bebas daripada permasalahan dadah menerusi guru yang dilantik untuk melaksanakan program tersebut.

“Pihak sekolah akan sentiasa bekerjasama dengan pihak AADK bagi melaksanakan program tersebut dan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain seperti pihak Pemadam,” jelasnya.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Beaufort Karim A.M Zahari, Penolong Pengarah AADK Sabah Albert Tien, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beaufort (MDB) Mohd Fawzi Abd Kadir dan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Beaufort Inspektor Ng Chai Sing. -SabahNewsToday