Pilih Bahasa

14 individu termasuk tiga kanak-kanak ditahan dalam Ops PTI Bersepadu

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 14 orang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa dalam satu operasi Pendatang Tanpa Izin (PTI) bersepadu yang dijalankan selama tujuh jam bermula pukul 9 malam di sekitar bandaraya kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua yang ditangkap melibatkan enam lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan tiga orang kanak-kanak dengan kesalahan dokumentasi dan penyalahgunaan dadah.

14 Individu ditahan dalam Ops PTI Bersepadu. Gambar SNT/Ihsan Polis

Operasi terbabit dijalankan di tujuh lokasi dalam sekitar Kota Kinabalu dengan dibantu daripada Pasukan Gerakan AM (PGA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Rela, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya ketika operasi berkenaan, seramai 59 orang yang diperiksa dan 45 orang telah dilepaskan setelah pihak JPN dan JIM dengan pemantauan SPRM membuat pemeriksaan dokumen-dokumen pengenalan diri bagi individu yang ditahan.

Selain itu, indivdu yang dilepaskan juga adalah hasil kerjasama daripada pihak keluarga dan majikan orang yang ditahan dengan menghantar kad pengenalan dan pasport asal untuk dokumentasi dan pemeriksaan.

Antara individu yang diperiksa dalam operasi tersebut. Gambar SNT/Ihsan Polis

Tumpuan lokasi dijalankan adalah di kawasan yang mana kadar pertumbuhan PTI kerap berlaku kegiatan jenayah di Kota Kinabalu.

Anggaran umur tangkapan adalah dalam lingkungan 14 hingga 54 tahun dan pecahan warga asing yang berjaya ditahan adalah 10 orang dari Filipina dan dua lagi dari Indonesia.

Tangkapan PTI akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan bagi tangkapan kesalahan ujian urin mengandungi dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -SabahNewsToday