Pilih Bahasa

14 pengamal media Sabah, Sarawak sertai Borneo Inspiration Drive’ bersama Proton X70

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 14 pengamal media dari Sabah dan Sarawak menyertai ‘Borneo Inspiration Drive’ bersama Proton X70 baru-baru ini.

Program berkenaan antara lain untuk memberikan pengalaman pemanduan di Borneo terhadap kenderaan jenis SUV sulung Proton selepas bekerjasama dengan syarikat Geely dari China.

Pengarah Kumpulan Komunikasi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Vijayaratnam Tharumartnam berkata program berkenaan adalah cara terbaik buat masyarakat Borneo untuk memandu Proton terbaharu itu di tempat sendiri.

14 pengamal media merakamkan gambar kenangan bersama warga Proton setibanya di Kundasang. – Gambar SNT/Ihsan Proton

“Ini kerana, dengan ciri-ciri baharu dan pertama di Malaysia bagi kereta tempatan, adalah amat sesuai jika ia dipandu uji di lokasi-lokasi pengguna atau pelanggan kami sendiri.

“Sudah pasti, pengamal media menjadi pengantara antara Proton dan masyarakat setempat untuk merasakan sendiri pengalaman pemanduan Proton X70 dengan ciri-ciri khas,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan, baru-baru ini.

Tharumartnam berkata antara ciri khas itu ialah fungsi pemanduan berbukit dan kawasan rata dengan mengutamakan keselamatan pemandu, penumpang mahupun pejalan kaki.

Taklimat pemanduan dengan ciri keselamatan baharu X70 kepada pengamal media. – Gambar SNT/Ihsan Proton

Katanya pemanduan dengan Proton X70 bersama pengamal media itu juga bukan sahaja mengambil masa dalam dua hingga tiga jam tetapi selama dua hari.

Tambahnya ia bertujuan memberi peluang kepada pengamal media untuk menggunakan kenderaan berkenaan lebih lama dalam pemanduan jarak jauh dan mencabar.

Sementara itu, dalam program kembara tersebut pihak Proton menyediakan sebanyak enam buah kereta X70 untuk dipandu oleh pengamal media sepanjang program berlangsung.

Antara Proton X70 yang digunakan oleh pengamal media pada program itu. – Gambar SNT/Ihsan Proton

Setiap pengamal media juga berpeluang memandu dan menggunakan ciri-ciri baharu kenderaan tersebut yang tidak pernah dipasang di mana-mana kereta nasional sebelum ini.

Ciri-ciri baharu yang terbina menjadikan model berkenaan sebagai kereta pintar dengan ciri keselamatan automatik serta ‘arahan suara’.

Kenderaan tersebut sudah semestinya turut memberikan sentuhan keselamatan standard kepada semua model seperti enam beg udara, rear seat Isofix, Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Auto Brake Hold, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Hill Hold Assist (HHA), Hill Descent Control (HDC) dan Emergency Stop Signal (ESS).

Kamera 360 darjah yang terbina dalam Proton X70 memaparkan keadaan di luar kereta sepenuhnya. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Selain itu, sistem keselamatan aktif dan kognitif tambahan yang diberikan termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Forward Collision Warning (FCW), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (Blis), Door Opening Warning System (DOW) dan Intelligent High Beam Control (IHBC).

Melalui ciri keselamatan yang diberi keutamaan efektif membuktikan sehingga Proton Xto mendapat penganugerahan Lima Bintang Keselamatan dalam ujian Asean NCAP.

Bukan itu sahaja, Proton X70 juga didatangkan dengan kamera 360 darjah yang mana ia boleh dipandu apabila cermin sisi, cermin padang belakang serta cermin depan ditutup sepenuhnya.

Olah gerak Proton X70 menggunakan kamera 360 darjah. – Gambar SNT/Ihsan Proton

Pemandu boleh membuat olah gerak dengan bantuan kamera 360 darjah iaitu hanya melihat pada paparan skrin di dalam kereta tersebut.

Semua kelengkapan ini, pengamal media berkesempatan untuk menggunakan sepenuhnya ciri-ciri tersebut dengan betul di sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kundasang dengan bantuan dan arahan yang diberikan oleh pihak Proton. – SabahNewsToday