Pilih Bahasa

145 pemimpin adat dan ketua kampung bagi Tamparuli dan Kiulu terima watikah pelantikan

Tangau bersama dengan KAN,WKAN dan Ketua Kampung Daerah Tamparuli dan Pekan Tamparuli selepas penyerahaan watikah di Dewan Tun Hamdan hari ini. Turut hadir Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Joanna Henley Sue Rampas dan Pengawai Daerah Tuaran Sopian Alfian Nair. Gambar SNT/Ihsan KP&P.

TAMPARULI: Setiap pemimpin adat harus mempunyai integriti semasa menjalankan tugasan harian.

“Anda wajib berintegriti,  tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Sikap tidak berintegriti dalam kalangan penjawat yang dilantik boleh memusnahkan keharmonian negara khususnya Sabah,” tambah beliau.

Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan dalam majis penyerahan  watikah pelantikan ketua-ketua adat kawasan Tamparuli dan Kiulu di Dewan Tun Hamdan Tamparuli di sini hari ini.

Tangau menyerahkan surat watikah kepada Ketua Anak Negeri, OKk Johnny Tanggar semasa majlis tersebut sementara disaksikan oleh Joanna (empat kanan) dan Sopian (dua kanan). Gambar SNT/Ihsan KP&P

Beliau turut menggesa penerima watikah pelantikan yang dilantik oleh kerajaan melalui pemilihan, agar menambah ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang undang-undang agar mereka mempunyai ilmu pengetahuan tentang undang-undang.

Tangau memberi peringatan kakitangan Mahkamah Anak Negeri serta Ketua- Ketua Kampung akan dilucutkan jawatan serta merta sekiranya didapati tidak berintegriti.

“Jika sekiranya ada di kalangan mereka yang didapati melakukan sesuatu kesalahan apatah lagi kalau dia dirujuk di mahkamah anak negeri dengan secara automatik jawatan itu terlucut dan ini juga sama dengan ketua kampung”, tegas beliau.

Dalam pada itu seramai 68 menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada ketua daerah, ketua anak negeri dan wakil ketua ketua kampung bagi kawasan Tamparuli.

Manakala seramai 77 penerima watikah perlantikan bagi kawasan Kiulu iaitu 14 daripada penerima terdiri daripada Mahkamah Anak Negeri.-SabahNewsToday