Pilih Bahasa

PENEMPATAN SEMULA MANGSA KEBAKARAN KG PASIR PUTIH DIBINCANG HARI INI

Uda (berbaju biru muda) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran. Gambar SNT/Ehsan Pejabat ADUN Petagas

PUTATAN: Mesyuarat jawatankuasa bencana daerah akan diadakan hari ini bagi membincangkan dan memutuskan penempatan semula kepada 78  keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata jawatankuasa itu akan memutuskan tempoh dan penggunaan pusat penempatan sementara (PPS) yang terletak di Dewan Serbaguna Putatan sebagai lokasi berteduh mangsa kebakaran terlibat.

“Kita akan buat keputusan yang terbaiklah memandangkan keadaan begini dan esok jawatankuasa bencana alam daerah akan bermesyuarat bagi memutuskan berapa lama mereka boleh tinggal di sini.

Jennifer bertanya khabar kepada salah seorang mangsa kebakaran sambil disaksikan oleh Uda dan pemimpin kerajaan lain. Gambar SNT/Ehsan Pejabat ADUN Petagas

“Buat masa ini komitmen untuk menggunakan dewan ini tidak ada kecuali khas utk ini, jadi saya yakin penuh mungkin mereka akan dibenarkan tinggal sini mengikut kesesuaian masa dan keadaan yang difikirkan sesuai,” katanya.

Beliau yang  juga Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis lawatan Pembantu-Pembantu Menteri Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Putatan pada Ahad.

Antara yang hadir adalah Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri; Arifin Asgali, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi; Jennifer Lasimbang, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat; Norazlina Arif, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan ;Dr Daud Yusuf, Pembantu Menteri Perdagangan Dan Perindustrian; Ben Chong, Pembantu Menteri Pelancong dan Alam Sekitar; Assaffal P. Alian dan Ahli  Parlimen Papar; Ahmad Hassan.

Dalam program berkenaan, kesemua wakil rakyat  daripada Parti Warisan Sabah  (WARISAN) itu berkesempatan melawat mangsa-mangsa kebakaran yang terlibat dan mengagihkan sumbangan berupa barangan keperluan serta wang tunai.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama  Arifin berkata Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran kehilangan dokumen pengenalan diri kepada mereka berkelayakan.

“Kebanyakkan mangsa tidak dapat menyelamatkan barang-barang mereka dan masa kejadian kebanyakkan pergi sembahyang jadi banyak kehilangan pada masa itu.

“Kita akan pastikan bahawa pengurusan pentadbiran mangsa ini iaitu Jabatan Ketua Menteri (JKM) akan mengenalpasti berapa ramai yang hilang pengenalan diri dan kita akan bantu mereka dan beri kepada yang layak,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian jam 12.50  petang Jumaat lalu, sebanyak 78  keluarga terpaksa sehelai sepinggang apabila lebih 55 buah rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang berkata pihak kementerian sudah mengenalpasti kesemua anak-anak mangsa kebakaran yang terlibat dalam sesi persekolahan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata seramai 50 pelajar sudah dikenal pasti melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah dengan Jabatan Pendidikan Negeri sudah membuat  laporan dalam memastikan mereka dapat balik ke sekolah.

“Kita telah membuat laporan dan mereka akan memastikan anak-anak ini dapat balik ke sekolah dengan segera dan kelengkapan diperlukan untuk mereka.

“Jadi tindakan bgitu cepat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, untuk rekod,  setakat ini lebih kurang 50 pelajar sekolah menengah dan rendah,” katanya.-SabahNewsToday