Pilih Bahasa

Polis tahan remaja warga Indonesia dipercayai edar dadah

Bahan dipercayai syabu ditemui dalam sampul surat dalam satu serbuan disebuah pondok di Kampung Ice Box, Tawau. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

TAWAU, 18 Jan (Bernama) — Polis menahan seorang remaja warga Indonesia dipercayai pengedar dadah kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 56.5 gram dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Icebox di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata remaja lelaki berusia 17 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu cuba melarikan diri ketika serbuan tetapi berjaya ditahan dalam kejadian pada 12 tengah hari itu.

“Polis yang melakukan pemeriksaan ke atas suspek tidak menemukan barang salah tetapi pemeriksaan lanjut di pondok itu menemukan satu sampul surat warna putih bertulis – BY AIR MAIL- di atas lantai pondok dan di dalamnya berisi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suspek yang ditahan. Gambar SNT/Ehsan IPD Tawau

Hasil siasatan lanjut, Fadil berkata suspek mengakui bekalan dadah itu miliknya dan kali terakhir mendapatkan bekalan dadah dengan harga RM4,500, semalam.

“Suspek berurusan (mendapatkan bekalan) di Kampung Icebox dengan kekerapan membeli sehingga dua hingga tiga kilo seminggu dengan satu kali belian RM4,500,” katanya.

Kata Fadil, polis akan memohon reman ke atas suspek yang turut positif dadah jenis syabu pada 19 Jan ini.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA