Pilih Bahasa

16 lelaki kru bot pukat tunda ditahan menceroboh kawasan nelayan tradisional

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah ini menahan 16 kru bot pukat tunda terdiri dari warga Indonesia dan Palauh disyaki beroperasi dalam kawasan nelayan tradisional.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, semua suspek berusia 44 hingga 51 tahun ditahan di dalam dua bot tunda yang dinaiki dalam jarak 1.8 batu nautika dari Tanjung Tungku dan Selatan Bagahak.

Dua bot tunda yang dinaiki 16 lelaki ditahan disyaki melanggar syarat sah lesen dengan beroperasi di kawasan kurang tiga batu nautika dari pantai. Gambar SNT / Ihsan APMM Lahad Datu

“Hasil pemeriksaan mendapati semua yang berada di atas bot termasuk tekong dan awak-awak adalah warganegara Indonesia dan Palauh.

“Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pantai terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua pukat tunda gulung, ikan pelbagai jenis dianggarkan sebanyak 200 kilogram (kg) serta dua bot tunda ditahan dan dibawa ke Pos Maritim FELDA Sahabat Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985,”katanya. – SabahNewsToday