Pilih Bahasa

164 peserta memeriahkan pertandingan menembak antara agensi kerajaan dan media

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Seramai 164 peserta daripada 13 agensi kerajaan hadir memeriahkan Pertandingan Menembak antara Agensi dan Media Sempena Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia kali ke-85.

Program tersebut berlangsung di Lapang Sasar Kapal Diraja Sri Semporna anjuran Unit Pasukan Khas Laut 2 (PASKAL).

Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama agensi kerajaan yang terlibat. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Antara wakil agensi kerajaan yang hadir adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tawau, Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Bersama 2 (ATB2) dan banyak lagi.

Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Ahmad Nazree Abu Hassan TLDM berkata, tujuan program ini diadakan adalah untuk berinteraksi sekaligus mengeratkan hubungan antara agensi-agensi kerajaan bersama pihak media.

69 Komando telah menjadi Juara Keseluruhan Pertandingan Menembak antara Agensi dan Media Sempena Hari Ulangtahun TLDM ke-85. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya mahu semua yang hadir pada hari ini mengambil peluang yang diberikan. Kita mengadakan program ini sejak penubuhan KD Sri Semporan pada tahun 2004.

“Program ini juga adalah sebagai menghargai pihak media. Saya harap pihak media dapat jadikan aktiviti ini supaya semua tahu bahawa media dan agensi kerajaan sentiasa berinteraksi antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kejohanan tersebut.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tawau menjadi Johan Pertandingan Menembak Antara Agensi dan Media di Lapang Sasar KDSM Semporna. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Dalam pada itu, beliau berharap agensi yang hadir pada kali ini menghantar lebih banyak wakil untuk menyertai pertandingan ini pada masa akan datang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program ini.

“Saya berharap semua yang hadir pada hari ini dapat bergembira menyertai pertandingan ini,” katanya.

Dalam pertandingan itu, juara keseluruhan disandang oleh Unit 69 Komando.

Bagi kategori Very Important Person (VIP) dimenangi oleh Inspektor Jekry dari 69 Komando, tempat kedua Deputi Superintenden Jefry Bidin mewakili Unit Pasukan Polis Marin (PPM) manakala tempat ketiga dimenangi Kapten Amin dari Batalion 26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kategori individu lelaki dijuarai oleh Sarjan Bobby Zaini dari unit 69 Komando, naib johan disandang oleh Koperal Rozaini (PPM) dan ketiga dimenangi oleh Koperal Majdi dari IPD Semporna. – SabahNewsToday