Pilih Bahasa

Sabah terus hargai sumbangan warga emas dalam pembangunan masyarakat

SANDAKAN, 4 Feb (Bernama) — Kerajaan negeri terus menghargai sumbangan warga emas dalam pembangunan masyarakat melalui inisiatif tertentu, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong.

Beliau berkata antara inisiatif tersebut ialah pemberian bantuan kewangan, penubuhan pusat aktiviti warga emas (PAWE), pembelian bantuan alat sokongan dan penyediaan perkhidmatan institusi.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Bantuan kewangan iaitu Bantuan Orang Tua (BOT) yang diberikan sebanyak RM350 sebulan seorang adalah sebagai saraan hidup kepada warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti.

“Pada tahun lepas (2018), kerajaan membelanjakan sebanyak RM114.8 juta untuk membiayai 27,770 penerima BOT di seluruh negeri dan daripada jumlah ini, seramai 1,354 orang dengan perbelanjaan RM5.6 juta adalah dari daerah Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program “Kau Yang Tersayang” bersama warga emas sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Rumah Warga Tua Sri Harapan di sini Ahad.

Wong turut menjelaskan penubuhan PAWE merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas dan melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Menurutnya, setakat ini, tujuh PAWE ditubuhkan iaitu di Sandakan, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu, Tawau dan Keningau dengan jumlah anggota berdaftar 1,400 orang.

“Perkhidmatan institusi pula ditubuhkan untuk memberi jagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang uzur, daif dan tidak berwaris agar dapat terus hidup dalam suasana yang selesa dan tenteram.

“Pada ketika ini, terdapat tiga buah rumah warga tua di Sabah iaitu Rumah Warga Tua Air Panas di Tawau, Rumah Warga Tua Sri Harapan di Sandakan dan Rumah Warga Tua Sri Pritchard di Kota Kinabalu melibatkan jumlah kos operasi sebanyak RM1.5 juta setahun,” katanya.

Wong juga berharap sektor korporat, komuniti dan NGO terus prihatin dan berganding-bahu dengan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan itu.

— BERNAMA