Pilih Bahasa

168 sertai program gotong-royong bersihkan Pantai Tanjung Aru

KOTA KINABALU: Seramai 168 peserta telah menyertai Program Gotong-Royong “Love Your Beach Clean” di Pantai Tanjung Aru, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Insan Bakti Sabah (PIBS) dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Kinabalu, RELA, Pertubuhan Tindakan Cemas Malaysia, Belia Sihat dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Sebahagian daripada peserta Program Gotong-Royong “Love Your Beach Clean.” – Gambar SNT/Ihsan PIBS

Ketua Penyelaras program tersebut, Mohd Riduhan Datu Abat berkata pelajar daripada institusi pengajian swasta turut menyertai program itu terdiri daripada Management & Science University (MSU), North Borneo University College, Asian Tourism Institute College (ATI), Kolej KIARA dan Aviation Refueller,

Katanya PIBS mengambil inisiatif menganjurkan program itu bertujuan membantu meringankan beban pihak kerajaan, terutamanya dalam aspek penjagaan alam sekitar.

“Ianya amat penting kerana tempat-tempat awam seperti Pantai Tanjung Aru amat memerlukan kesedaran dan penglibatan daripada setiap masyarakat dalam menjaga kebersihan dan keindahannya.

Suraya menyampaikan sijil penghargaan kepada syarikat swasta yang membantu menjayakan program itu.-Gambar SNT/Ihsan PIBS

“Sikap bertanggungjawab mengenai kebersihan dan penjagaan alam sekitar amat perlu bagi keselesaan masyarakat itu sendiri.

“Apatah lagi Pantai Tanjung Aru adalah tempat awam yang menjadi tumpuan pengunjung terutamanya pelancong-pelancong asing. Ianya juga bakal diwarisi oleh generasi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui.

Mohd Riduhan berkata antara pengisian sepanjang program itu ialah aktiviti Zumba, taklimat pendidikan pencegahan dadah, sesi soal jawab dan gotong royong membersihkan kawasan pantai.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PIBS berharap semangat kerjasama dan silaturrahim seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Mohd Riduhan Datu Abat. Gambar Fail SNT

“PIBS juga menyeru semua lapisan masyarakat agar bersama-sama berganding bahu dalam melakukan aktiviti- aktiviti kebajikan dan kemasyrakatan demi kesejahteraan bersama,” tegasnya.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi PIBS, Datin Suraya Ahmad.-SabahNewsToday