Pilih Bahasa

1,692 TANGKAPAN LIBATKAN KES DADAH SEJAK JANUARI: OMAR

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya membuat tangkapan seramai 1,692 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952 sepanjang Januari hingga 6 Februari seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata jumlah tersebut meningkat sebanyak dua peratus berbanding tempoh masa yang sama pada 2018 iaitu seramai 1,658 orang.

Datuk Omar Mammah. Gambar Fail SNT

“Berdasarkan tangkapan pada 2019 iaitu seramai 1,692 orang mendapati seramai 130 orang adalah pengedar dadah yang di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi rampasan dadah pula mendapati dadah jenis syabu merupakan rampasan yang paling banyak dibuat iaitu sebanyak 3,370.31 gram berbanding 326.9 gram pada 2018 iaitu peningkatan sebanyak 3043.6 gram,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Sementara itu, Omar berkata turut kes melibatkan rampasan daun ketum sejumlah 6,000 gram juga berjaya dilakukan dalam tempoh masa yang sama berbanding 2018 dengan tanpa tangkapan direkodkan.

Menurutnya operasi-operasi yang agresif masih lagi dijalankan di semua daerah dan beliau berharap polis Sabah merekodkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini.

“Apa yang penting dalam hal ini, selain daripada kita meningkatkan keupayaan risikan, polis Sabah juga meningkatkan operasi-operasi di semua daerah.

“Kita mengharapkan kerjasama yang berterusan daripada orang awam dalam usaha kita untuk memerangi aktiviti dadah di kontinjen Sabah.

“Kita komited dalam hal ini, kita akui bahawa polis Sabah begitu serius dalam memerangi dadah dan tidak mahu berkompromi dengan tindakan-tindakan segelintir warga polis jika ada,” katanya.

Jelasnya sekiranya beliau dapati terdapat usaha-usaha yang dijalankan oleh orang-orang dalaman seperi mana yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini iaitu salah satu kegagalan pihak berkuasa atau penguasa undang-undang dalam membanteras kegiatan dadah disebabkan penglibatan orang dalaman sendiri, kita akan ambil tindakan termasuk bukan sahaja membuang kerja tetapi menuduh mereka di mahkamah. -SabahNewsToday