Pilih Bahasa

17 Ogos tarikh mendengar hujah dan keputusan akhir semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dun Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: 17 Ogos ditetapkan sebagai hari mendengar penghujahan dan keputusan akhir semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Ketetapan terbabit dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim mendengar hujah dikemukan oleh peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengemukakan permohonan semakan itu serta Penguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan dan Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh.

Tengku Fuad ketika ditemui media selepas proses mendengar hujah permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan-

Leonard turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara memfailkan hujah mereka selewat-lewatnya pada 10 Ogos dan dibalas oleh pemohon pada 12 Ogos.

Terdahulu, Musa bersama 32 Adun lain yang menyatakan sokongan ke atasnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman menerusi firma guaman FT Ahmad dan Co pada 4 Ogos lalu.

Permohonan terbabit meletakkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.

Sementara itu, suasana di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dikawal dengan ketat sebagai langkah keselamatan serta pencegahan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, tiada penyokong mana-mana pihak dilihat hadir ke kawasan mahkamah setakat waktu tengah hari. – SabahNewsToday