Pilih Bahasa

17 tayangan filem percuma sempena BEFF 2018

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Melissa (tiga dari kiri) bersama wakil-wakil penaja BEFF memegang poster filem-filem yang akan ditayangkan sempena festival selama tiga hari. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Orang ramai di negeri ini berpeluang menyaksikan 17 tayangan filem menarik sempena Festival Filem Borneo Eco Kelapan (BEFF Ke-8) mulai 2 hingga 4 November ini di kompleks beli-belah Suria Sabah.

Kesemua filem ini dari pelbagai negara berkonsepkan isu semasa seperti hak asasi dan alam sekitar dipilih oleh Melapi, selaku penganjur BEFF.

Masuk adalah percuma bagi kesemua filem yang ditayangkan selama tiga hari festival itu diadakan.

Pengarah BEFF, Melissa Leong berkata sempena BEFF pada tahun ini filem Girl Rising dari Amerika Syarikat akan memulakan tayangan perdana dalam festival itu.

Beliau berkata filem itu memaparkan kisah sembilan kanak-kanak dari negara maju yang bergelut dan berusaha mengatasi pelbagai halangan untuk mendapatkan pendidikan serta berjuang mengubah nasib mereka.

“Selepas tayangan itu akan diadakan forum mengenai hak wanita dan perkahwinan kanak-kanak yang akan dikendalikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia selaku moderator forum.

“Kami juga berbangga membawa beberapa siri filem berkaitan isu alam sekitar yang telah memenangi anugerah dan sebahagian daripada filem tersebut merupakan tayangan perdana untuk Asia dan Asia Tenggara di Kota Kinabalu,” katanya dalam sidang akhbar di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini hari ini.

Melissa berkata, penganjuran BEFF mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah, Yayasan Hasanah dan UNICEF Malaysia serta Suria Sabah.

Beliau berkata dari segi pengaturcaraan filem, pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawakan seberapa banyak tema alam sekitar yang relevan berkaitan dengan Sabah.

Jelas beliau lagi, ini termasuk tumpuan isu yang berkaitan hidupan liar dan hubungan dengan manusia, pulau-pulau dan lautan, pengguna dan sisa pembuangan, perubahan iklim dan pembuatan filem-filem berunsurkan komuniti.-SabahNewsToday