Pilih Bahasa

1,700 balak bernilai lebih RM1 juta dirampas

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SIPITANG: Pasukan Penguatkuasa Khas Jabatan Perhutanan Sabah (PROTECT Unit) merampas kira-kira 1,700 kayu balak bernilai lebih RM1 juta disyaki ditebang tanpa permit sah di kawasan Long Mio, dekat sini pada Rabu.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata rampasan berkenaan dijalankan ekoran aduan yang diterima membabitkan pencerobohan kawasan konsesi Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI) di Hutan Simpan Ulu Sungai Padas baru-baru ini.

Kayu balak yang ditebang tanpa permit sah. Gambar SNT / Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah

“Serbuan kira-kira jam 2 petang kemudian dijalankan sejurus selepas Pasukan PROTECT mengesan longgokan kayu balak di kawasan berkenaan ketika menjalankan tinjauan udara menggunakan helikopter.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 1,700 kayu balak yang dikumpul di beberapa lokasi berasingan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.

“Siasatan mendapati syarikat berkenaan didapati menjalankan aktiviti pencerobohan dan melanggar Enakmen Hutan 1968,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Longgokan kayu balak dikesan selepas tinjauan dilakukan melalui udara. Gambar SNT / Ihsan Jabatan Perhutanan Sabah

Beliau berkata pihak syarikat yang menjalankan aktiviti menebang pokok secara haram sudah dikenalpasti dan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 20 Enakmen Hutan 1968.

“Saya memberi amaran kepada semua pengusaha pembalakan dan pemilik tanah yang sedang membuka kawasannya supaya tidak memandang ringan perkara ini. Kesalahan berkenaan adalah serius dan pihak kami tidak akan berkompromi terhadap kes seumpama ini,” katanya. -SabahNewsToday