Pilih Bahasa

172 kontingen sertai pertandingan kawad sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Tun Juhar (dua dari kiri) dan Mohd Shafie (kiri) bersama menteri Kabinet menyaksikan perarakan kontinjen. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Pertandingan kawad sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri 2019, hari ini menyaksikan saingan antara 172 kontingen membabitkan kira-kira 8,500 peserta.

Mempertandingkan tujuh kategori utama termasuklah Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi, Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau persatuan, swasta atau komersial dan Persatuan Etnik Sabah.

Acara seawal 6.30 pagi itu menobatkan Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai johan bagi kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi.

Antara kontinjen yang menarik tumpuan orang ramai dengan mengenakan pakaian tradisional semasa perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Naib juara dimiliki oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah dan diikuti tempat ketiga diberikan kepada Majlis Perbandaran Sandakan.

Berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens, Jabatan Kerja Raya mengungguli kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi dan dikuti tempat kedua oleh DBKK selain tempat ketiga miliki Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Johan bagi kategori Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau Persatuan pula berpihak kepada Pandu Puteri Malaysia (PPM) cawangan Sabah manakala Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK) berjaya merangkul naib juara dan tempat ketiga oleh Pengakap Laut Daerah Papar.

Perarakan kontinjen yang mengambil bahagian pada perarakan sempena Hari Kebangsaaan. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Sambutan yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri, Toh Puan  Norlidah RM Jasni itu juga memperlihatkan Koperasi Kemajuan Desa (KPD) berjaya meraih johan bagi kategori Swasta atau Komersial.

Naib johan jatuh kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selain tempat ketiga diberikan kepada DBKK Holdings.

Dalam pada itu, johan untuk kategori Persatuan Etnik Sabah adalah kepunyaan Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah selain tempat kedua disandang oleh Pejabat Daerah Semporna yang mengetengahkan etnik Bajau Semporna manakala Persatuan Kadazan Dusun Murut (KDM) berada di tempat ketiga pada pertandingan yang disaksikan lebih 10,000 pengunjung itu.

Perarakan masuk kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KP&I

Kontingen Komander Kesatria Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Sabah pula muncul juara kategori Institusi Penganjian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Penganjian Tinggi Swasta (IPTS) sebelum diikuti kontingen Petronas Briged Bomba, Kimanis Petroleum Training Centre pada kedudukan kedua manakala Askar Wataniah Politeknik KK ditempat ketiga.

Sementara itu, Pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Tuaran menjadi juara untuk kategori Sekolah Menengah kemudian naib juara milik ST John Ambulances Malaysia SMK Tun Fuad Stephens Kiulu dan tempat ketiga diperoleh kepada PKBM Darat SMK Badin, Tuaran. – SabahNews Today