Pilih Bahasa

180 premis perniagaan dapat kelulusan notis jualan murah sempena Aidilfitiri

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebanyak 180 premis perniagaan di negeri ini menerima kelulusan notis jualan murah bagi penjualan pakaian hari raya.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Ravichandran A/L Vadivellu berkata menerusi jumlah itu, pihaknya sudah memeriksa 27 premis perniagaan pakaian sejak 13 Mei lalu dan mendapati setakat ini semua peniaga mematuhi perundangan yang ditetapkan.

Ravichandran menjalankan pemeriksaan di gedung beli-belah di Alam Mesra. Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Ravichandran berkata pemeriksaan serta penelitian dijalankan bagi beberapa pakaian seperti baju kurung moden, baju kebaya, baju melayu, songkok sampan, butang baju melayu dan semua jenis tudung.

“Kita juga ada mengeluarkan lima notis pengesahan maklumat harga sebelum dan semasa jualan kepada beberapa premis terpilih untuk mengesan trend harga pakaian.

Ravichandran (kiri) bersama salah seorang pelanggan gedung beli-belah Jakel dalam Ops Pakaian Raya di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

“Dalam pada itu, hasil penelitian dan pemeriksaan yang dibuat, kita dapati semua jualan murah yang dijalankan semua premis adalah benar dan harga ditawarkan lebih rendah berbanding harga niaga biasa.

“Harga ditawarkan ini membabitkan semua kelengkapan raya bagi golongan lelaki dewasa, wanita dewasa dan kanak-kanak malahan penurunan harga diberikan peniaga sangat rendah antara 40 hingga 50 peratus termasuk bagi pakaian berjenama.

“Situasi ini menunjukkan peniaga di negeri ini prihatin dengan suasana perayaan yang bakal disambut dalam kalangan masyarakat setempat tidak lama lagi,” katanya.

Ravichandran menunjukkan perbezaan harga pakaian di gedung beli-belah Jakel dalam Ops Pakaian Raya di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul-

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pemeriksaan barangan pakaian sempena Ops Pakaian Raya diperingkat peruncit, di sini, hari ini.

Dilaksanakan bermula 13 Mei sehingga 24 Mei hadapan, pemeriksaan ketika musim perayaan seumpama itu tidak hanya fokus kepada barang kawalan dan keperluan barangan runcit sahaja malahan pakaian disebabkan ia menjadi salah satu keperluan penting bagi pengguna.

Beliau menyatakan operasi itu juga bertujuan bagi memastikan pakaian raya dijual pada harga berpatutan selain sentiasa mencukupi di semua lokasi.

Ravichandran berkata KPDNHEP Sabah sehingga kini belum menerima sebarang aduan daripada orang awam mengenai terdapat harga pakaian raya di negeri terbabit mahal atau meningkat mendadak.

“Saya harap peniaga dapat kekalkan momentum ini untuksemua perayaan supaya masyarakat dapat menyambut perayaan dalam suasana gembira dan sederhana,” katanya. –SabahNews Today