Pilih Bahasa

19 mangsa banjir di Membakut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara

Anggota APM membantu mangsa banjir berpindah dari kediaman mereka ekoran banjir di Membakut. – Gambar SNT/Ihsan APM

KOTA KINABALU, 8 Nov   — Sembilan belas orang daripada lapan keluarga yang merupakan mangsa banjir dari Daerah Kecil Membakut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataan petang ini, mereka terdiri 14 dewasa, lima kanak-kanak dipindahkan di PPS Dewan Selagon.

Kenyataan itu berkata sebanyak 11 kampung di Membakut terjejas banjir iaitu di Kampung Lumantak, Baitam, Sinoko, Bambangan, Baru, Kayai, Lampuas, Sindok, Siniko, Laut,  dan Jambatan Baru.

Mangsa banjir di Membakut dibawa ke pusat pemindahan sementara oleh anggota APM. – Gambar SNT/Ihsan APM

Menurut kenyataan itu, terdapat jalan raya utama terjejas dan tidak boleh dilalui di Jalan Kampung Baitam Laut, manakala jalan utama lain boleh dilalui semua jenis kenderaan,

Selain APM, pemantauan banjir turut membabitkan anggota bomba dan penyelamat, polis, Pejabat Daerah Beaufort, Pejabat Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

— BERNAMA