Pilih Bahasa

196 ketua isi rumah terima surat tawaran duduki PPR

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Sebanyak 196 ketua isi rumah menerima surat tawaran menduduki rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bubul Ria Semporna hari ini.

Penyerahan rumah secara sewaan itu adalah sebahagian daripada agenda sosial kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat sekaligus memenuhi keperluan bagi golongan berpendapatan rendah.

Jaujan menyampaikan surat tawaran kepada salah seorang penerima. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata penyerahan rumah berkenaan akan dilakukan secara berperingkat bagi mengenalpasti individu yang layak menerima.

“Saya anggarkan di seluruh Sabah ini ratusan ribu individu memerlukan rumah PPR. Walaupun hakikatnya unit-unit ini diduduki secara sewaan namun ia tempat yang terbaik kerana kadar sewaan yang murah.

“Saya harap mereka yang mendapat tawaran dapat memanfaatkan sepenuhnya kerana ramai lagi individu di luar sana yang memerlukan rumah seumpama ini,” katanya.

Jaujan menyampaikan surat tawaran kepada seorang lagi penerima. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Penyewa PPR Bubul Ria, di sini.

Sebanyak 832 unit rumah disediakan di PPR berkenaan yang akan diisi secara berperingkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan berkata penyerahan rumah PPR ini perlu disegerakan bagi memudahkan projek-projek perumahan lain dapat dibina sekaligus menyelesaikan isu rumah setinggan.

“Dalam tinjauan saya Sabah ini mempunyai kawasan setinggan yang banyak namun bukan diduduki oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tetapi mereka semua orang tempatan.

“Jadi ini juga adalah antara hala tuju kerajaan dalam menghapuskan rumah setinggan tetapi memberikan rumah secara berperingkat,” katanya. – SabahNewsToday