Pilih Bahasa

20 PELAKON TERKEMUKA HONG KONG AKAN KE SABAH TAHUN DEPAN

Oleh Alfred Petrus

Christina (depan dua kanan), Gin (depan kanan) dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong merakamkan gambar kenangan selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai 20 pelakon terkemuka Hong Kong bakal datang ke Sabah sempena Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata festival berkenaan akan berlangsung selama lima hari bermula 19 Mac.

“Pelancongan Sabah dan Lembaga Pelancongan Hong Kong telah berbincang untuk mengadakan Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong buat kali pertama di Sabah.

“Buat ketika ini, pihak In My Heart Production Co. Gin Lau menyatakan hanya dua orang pelakon yang telah memberi maklum balas untuk menyertai festival ini iaitu Andy Lau dan Louis Koo.

“Dan mereka kini dalam usaha untuk membawa lebih ramai pelakon-pelakon terhebat Hong Kong ke Sabah termasuklah Jackie Chan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong di sini hari ini.

Katanya kesemua pelakon tersebut akan menjejakkan kaki ke Sabah pada 19 Mac.

Dalam pada itu, jelasnya pelbagai acara akan dijalankan dalam program lima hari tersebut.

“Sudah pasti, melalui Festival Filem Aksi Sabah-Hong Kong ini, kira-kira lapan filem Hong Kong akan dipertontonkan yang mana, dua filem berasingan setiap hari bermula 20 Mac.

“Dalam festival ini juga akan ada acara karpet merah untuk memeriahkan lagi suasana,” jelasnya.

Sementara itu, Christina berkata antara lain, festival berkenaan bertujuan untuk mempromosi pertukaran kebudayaan antara Lembaga Pelancongan Hong Kong dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan ke tahun-tahun berikutnya ataupun sekali dalam dua tahun.

“Ini adalah bagi menarik lebih ramai pelancong Hong Kong ke Sabah.

“Kerana pihak mereka juga akan mempromosikan pelancongan Sabah di Hong Kong,” katanya. -SabahNewsToday