Pilih Bahasa

20 ribu hadir di Festival Kudat: Ben Chong

Oleh Zakaria Damit

KUDAT: kehadiran lebih 20 ribu pengunjung sempena penutupan Festival Kudat 2019 menunjukkan sokongan padu dalam kalangan masyarakat pelbagai suku kaum di negeri ini.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Ben Chong berkata penganjuran ini secara tidak langsung dapat merapatkan lagi silaturahim antara warga Kudat serta pengunjung luar yang datang berkunjung ke festival berkenaan.

Ben menyampaikan hadiah cabutan kepada pemenang.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjong Kapor

Katanya apa yang lebih membanggakan iaitu kehadiran kumpulan 80 pelayar dari 32 negara Eropah yang belayar ke beberapa buah negara sebelum singgah untuk hadir ke Festival Kudat.

“Bagi saya, acara yang penuh gilang gemilang pada tahun ini boleh diisytiharkan sebagai yang terbaik daripada lima edisi yang lain. Syabas dan tahniah kita ucapkan.”

“Bukan senang nak anjurkan satu program sebesar ini namun berkat dari kesabaran serta kegigihan semua Ahli Jawatankuasa Penganjur, inilah hasilnya yang amat membanggakan,” ujar Ben yang juga Adun Tanjong Kapor.

Ben berucap di majlis penutupan Festival Kudat.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjong Kapor

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Festival Kudat 2019, di sini semalam.

Beliau berkata selepas satu tahun lebih diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat beliau mendapat kerjasama sangat baik dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di daerah Kudat.

“Kita tolak segala usaha untuk memecah belahkan perpaduan kita di Kudat. Kita tolak anasir jahat yang ingin kita berpecah belah. Kita harus bersatu untuk memajukan daerah kita ini,” katanya.

Katanya jika berlaku perpecahan segala perancangan projek pembangunan kerajaan untuk Kudat pasti tidak mampu direalisasikan sekaligus menyebabkan pelabur tidak mahu melabur di Kudat.

Ben bersalaman dengan AJK penganjur.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Adun Tanjong Kapor

Ben menambah, selaku Pembantu Menteri Perdagangan Industri, beliau ingin melihat pelabur dari luar negara menjadikan Kudat sebagai destinasi utama pelaburan di masa depan.

“Ini sudah tentu memberi kebaikan penduduk Kudat kerana ianya akan meningkatkan taraf ekonomi kita selain memberi banyak ruang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya.-SabahNewsToday