Pilih Bahasa

20,000 penonton dijangka hadir menyaksikan Konsert Fenomena Orkestra @ RTM dan Konsert Aramaiti @ RTM

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Lebih 20,000 penonton dijangka membanjiri Padang Merdeka, Kota Kinabalu sempena penganjuran dua konsert berskala besar hujung minggu ini.

Dianjurkan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Konsert Fenomena Orkestra @ RTM bakal diadakan 16 November manakala Konsert Aramaiti @ RTM pada 17 November.

Poster digital Konsert Fenomena pada Sabtu. Gambar SNT/Ihsan RTM

Pengarah RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi berkata Konsert Fenomena Orkestra akan diiringi 41 pemuzik Orkestra RTM dan Pemuzik Tradisional Sabah di bawah pimpinan Pengarah Muzik Konsert Fenomena, Leonard Yeap Lin Soon.

“Konsert ini juga akan disiarkan secara langsung di TV2 bermula 8.30 malam. Hal ini memberi peluang kepada orang awam yang tidak berkesempatan datang ke lokasi konsert untuk melihat secara terus di kaca televisyen.

“Berkonsepkan Intuisi Muzik, Konsert Fenomena Orkestra menampilkan lima segmen melibatkan artis-artis popular seperti Anuar Zain, Ziana Zain, Bunkface, Ruffedge, Atmosfera, Rosario, Heidi, Benzoloo, Reshmonu, Sandra dan DJ Zaskar.

Poster digital Konsert Aramaiti pada Ahad ini. Gambar SNT/Ihsan RTM

“Dijangka turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni,” katanya ketika dihubungi Sabah News Today, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Malinaziah berkata Konsert Aramaiti pula menggabungkan pemuzik tempatan Sabah termasuklah kombo RTM Sabah, Razali Kulintangan, Payuki Seruling Ranau dan Pemuzik Bambu.

Menurut beliau, konsert terbabit juga bakal  disiarkan secara langsung melalui siaran radio bermula 8.00 malam hingga 10.00 malam, selain dirakam untuk siaran tertunda di saluran TV Okey.

Berbeza dengan konsep Konsert Fenomena Orkestra, beliau menyatakan Konsert Aramaiti menggambarkan majlis keramaian atau pesta meriah menerusi lima segmen dengan penampilan artis-artis seperti K-Clique, Francis Landong, Azharina Azhar, Velvet Aduk, Elica Paujin, Esther Applunius, Santiana Ramli, Den Bisa, Rich Estranged, Yabang Khalifah, Reynaldo Paggie, Eiffel Paul dan Janrywine J. Lusin.

“Konsert ini turut diiringi 35 pemuzik RTM Sabah dan pemuzik jemputan di bawah pimpinan Ketua Pemuzik RTM Sabah, Raymond Sukudat.

“Kita meminta orang ramai khususnya sekitar Kota Kinabalu hadir bagi memeriahkan dua konsert besar ini kerana masuk adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai objektif penganjuran dua konsert berkenaan, Malinaziah berkata acara hiburan dianjurkan bagi mendekati masyarakat menerusi program turun padang selain mengukuhkan jenama RTM dalam kalangan masyarakat.

“Kita mahu RTM terus dihormati dan diingati penonton serta pendengar selain mampu terus bersaing dengan stesen tv mahupun radio di negara ini selain memberi pendedahan mengenai kemampuan Orkestra RTM kepada masyarakat umum khususnya penggemar muzik,” katanya. -SabahNews Today