Pilih Bahasa

20,000 peserta hadir meriahkan Fit Malaysia di Tawau

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kira-kira 20,000 peserta hadir memeriahkan program Fit Malaysia Edisi Sabah yang julung kalinya diadakan di daerah ini selama dua hari bermula semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menzahirkan kegembiraan dengan sokongan yang diberi masyarakat daerah ini sekaligus menjadikan program berkenaan antara yang terbesar di Malaysia.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (depan, empat dari kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (depan, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta yang hadir memeriahkan Fit Malaysia. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata program seumpama itu perlu diperbanyak kerana ia menunjukkan sesuatu gelombang kesatuan dan perpaduan yang tidak ada batasan antara kaum dan agama disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu perbanyak aktiviti sukan seperti ini untuk membolehkan kita berinteraksi dengan golongan muda disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan belia seperti menyayangi negara, jaga hubungan baik sesama masyarakat dan pelbagai lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berswafoto selepas merasmikan Fit Malaysia peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jika kita mampu menerapkan rasa kekitaan bukan sahaja dalam bidang sukan namun kita mampu mengajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sekaligus melahirkan masyarakat yang cergas pemikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Fit Malaysia Peringkat Negeri Sabah, di Padang Bandaran, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (dua dari kanan), Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga dari kanan) dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (empat dari kanan) memukul gendang sebagai simbolik perasmian Fit Malaysia Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Amrullah Kamal, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’Mun Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap dengan penganjuran program seperti Fit Malaysia ia dapat menyatupadukan masyarakat di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (enam dari kanan) menyampaikan replika kunci motosikal kepada pemenang cabutan bertuah (lapan dari kanan). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Sabah boleh dijadikan contoh penganjuran sukan di Malaysia secara keseluruhan. Jika dilihat pada hari ini semua peringkat umur tanpa mengira bangsa dan agama hadir disatupadukan kerana sukan.

“Saya berharap walaupun kita tidak sama agama namun kita dapat tunjukkan kesetiaan kepada negara sekaligus diterapkan dalam hati dan minda seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja di Sabah,” jelasnya.

Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari program berkenaan berlangsung.

Antaranya, aktiviti berbasikal 10 dan 20 kilometer (km), larian 5km, dan berjalan kaki 3km. – SabahNewsToday