Pilih Bahasa

201 permit dikeluarkan kepada dua parti bertanding PRK Parlimen Kimanis

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Omar mengedarkan risalah dan beg kepada pengguna kenderaan sempena Pelancaran Op Selamat 16/2020 Tahun Baharu Cina di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan sebanyak 201 permit dikeluarkan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Jauari ini (esok).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata menerusi jumlah itu sebanyak 106 permit sudah dikeluarkam adalah bagi kawasan Papar manakala 95 permit untuk Beaufort.

“Permit berkenaan adalah tujuan berkempen dan ceramah umum sepanjang tempoh PRK sehingga kelmarin (Rabu) dan selain itu sebanyak 23 laporan polis sudah diterima setakat ini.

“Sembilan kertas siasatan sudah dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.

“Antaranya termasuklah fitnah, provokasi, mendatangkan khianat,  kenyataan yang boleh mendatangkan kebimbangan orang awam, merosakkan poster dan banner, kebencian dan permusuhan  kaum,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Op Selamat 16/2020 sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, semalam.

Omar berkata seramai 238 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)  Kontingen Sabah terbabit penugasan sempena Op Selamat 16/2020 Tahun Baharu Cina.

Bermula 18 Januari sehingga 2 Februari hadapan, jumlah keanggotaan berkenaan membabitkan 206 anggota dan 32 pegawai.

Dalam pada itu, Omar menasihatkan pihak terlibat dalam kempen PRK Parlimen Kimanis agar mengawal emosi selain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertujuan menghina.

Sementara itu, beliau menyatakan bilangan anggota polis yang ditempatkan di kawasan PRK Parlimen Kimanis turut ditambah kepada 859 daripada 792 anggota bertujuan meningkatkan kawalan sepanjang tempoh berkempen dan hari pembuangan undi. – SabahNewsToday