Pilih Bahasa

21 murid asnaf terima sumbangan daripada Persatuan Kebajikan Wanita Muslimah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seramai 21 murid daripada golongan asnaf di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 6 Setengah Segama, di sini, menerima sumbangan daripada Persatuan Kebajikan Wanita Muslimah (PKWM) Lahad Datu.

Sumbangan berupa wang tunai itu disampaikan Pengerusi PKWM, Dunnah Rabeka, dalam Program Bacaan Yassin dan Sumbangan Aidilfitri anjuran persatuan itu.

Dunnah Rabeka (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada salah seorang penerima. Gambar SNT / PKWM

Dunnah berkata, sumbangan itu adalah julung kali diadakan selepas penubuhan persatuan berkenaan pada tahun lalu.

“Program yang kita laksanakan ini adalah bertujuan membantu dan menceriakan golongan asnaf sempena Ramadan dan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ini adalah sumbangan daripada rakan-rakan PKWM dan juga menerusi kutipan sumbangan yang diterima dari masyarakat setempat di daerah ini,” katanya dalam majlis yang diadakan di Dewan Sri Tiung Sirih Budiman, sekolah berkenaan, hari ini.

Pengerusi PKWM, Dunnah Rabeka (5 dari kanan) serta rombongan dalam Program Bacaan Yassin dan Sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Dewan Sri Tiung Sirih Budiman, SK Batu 6 Setengah Segama Lahad Datu. Gambar SNT / PKWM

Dalam pada itu, beliau berharap sumbangan itu mampu membantu meringankan keperluan kanak-kanak daripada golongan asnaf terutama menjelang perayaan Aidilfitri yang akan tiba.

Beliau juga turut merancang untuk melaksanakan beberapa program amal lain dalam masa terdekat sempena Ramadan ini.

Dunnah Rabeka (sebelas dari kiri) dan rombongan bergambar kenangan guru-guru SK Batu 6 Setengah Segama Lahad Datu. Gambar SNT / PKWM

Sementara itu, ketibaan rombongan di sekolah berkenaan telah disambut Guru Besar sekolah itu, Ramlan Sameon bersama guru-guru lain.-SabahNewsToday