Pilih Bahasa

21 PEKEBUN KECIL GETAH DI KUALA PENYU TERIMA BAYARAN IPG

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Penerima Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bersama dengan John OT Ghani (empat dari kiri,duduk) di Pejabat LIGS Kuala Penyu. – Gambar SNT / Ehsan LIGS

KUALA PENYU:  Seramai 21 pekebun kecil getah di daerah ini menerima bayaran insentif pengeluaran getah berjumlah RM20,435.24 daripada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Bayaran itu diserahkan oleh Pengerusi LIGS, Datuk Johan @ Christopher Ghani dalam majlis yang diadakan di pejabat LIGS Kuala Penyu semalam.

Menurut Johan ia merupakan bayaran yang tertunggak bagi tempoh tujuh bulan iaitu bermula Mei hingga November tahun lalu.

“Daripada jumlah keseluruhan 259 pekebun kecil getah di daerah ini seramai 21 menerima insentif tersebut dengan jumlah bayaran terendah RM280.20 hingga RM2,302.24

“IPG adalah insentif yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada pekebun kecil getah di seluruh negara apabila harga getah dengan 50 peratus kandungan getah kering (KGK) di peringkat ladang berada di bawah kadar RM2.20 sekilogram dalam tahun 2018,” katanya.

Menurut beliau lagi pembayaran IPG itu akan dibuat di peringkat ladang mengikut jadual pembelian di setiap daerah manakala IPG bagi Disember 2018 akan dibayar selepas wang peruntukan diterima oleh LIGS daripada kerajaan Persekutuan.

Sementara itu para pekebun kecil yang menerima pembayaran IPG melalui bank pula boleh membuat semakan di bank masing-masing mulai 1 Februari lalu dan pembayaran IPG akan dilaksanakan sehingga 15 Mac ini.

Sehubungan itu beliau berharap pemberian IPG dapat membantu meringankan beban kewangan para pekebun kecil getah semasa harga getah berada di tahap yang rendah.

Beliau turut menggesa agar para pekebun kecil getah terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti mereka dan terus memberi sokongan padu kepada pihak LIGS dalam memastikan objektif kerajaan untuk membantu para pekebun kecil getah khususnya di Sabah dapat direalisasikan. – SabahNewsToday