Pilih Bahasa

21 pemilik bot pelancong, penumpang dikompaun

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Pasukan Polis Marin menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bot pelancong di Semporna. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) mengeluarkan kompaun dan saman terhadap 21 pemilik bot pelancong dan penumpang atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas, di perairan daerah ini. 

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asistan Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi pihaknya yang bermula pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari ini mendapati pengusaha bot pelancong kerap membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

Pasukan Polis Marin (PPM) memeriksa sebuah bot pelancong dan penumpang dalam Operasi Khas di perairan Semporna. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

“Pada kali ini sebanyak 85 bot pelancong dan penumpang diperiksa dan daripada jumlah itu, 21 pemilik bot dikompaun dan saman atas pelbagai kesalahan. 

“Beberapa kesalahan yang sering dilakukan antaranya membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di dalam lesen operasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata selain itu kelengkapan peralatan serta alat-alat keselamatan tidak lengkap termasuk tidak menyediakan jaket keselamatan juga turut dikesan dalam operasi yang dijalankan polis marin.

Sekitar Operasi Khas yang dijalankan Pasukan Polis Marin di perairan Semporna. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

Beliau berkata, semua pemilik bot didapati melakukan kesalahan dibawah Perkapalan Saudagar 1960 (MSO) dan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah ( JPDS ) untuk tindakan lanjut. 

Dalam pada itu, beliau berkata penting bagi pemilik bot mengutamakan keselamatan penumpang supaya sentiasa dalam keadaan selamat khususnya sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri dan cuti penggal persekolahan. – SabahNewsToday