Pilih Bahasa

2,185 rumah PPRT baharu dibina dan baik pulih di Sabah tahun ini: Ewon

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membina sejumlah 2,185 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah program baik pulih dan bina baharu seluruh negeri tahun ini.
 
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,740 rumah PPRT baik pulih dan 445 buah PPRT bina baharu akan dilaksanakan oleh Giat Mara dan Felcra.

Ewon (dua dari kanan), Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr.Yusof Yacob, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Haji Aidil Moktar, Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Adun Membakut Datuk Mohd Arifin Arif bergambr bersama sebelum persidangan bermula. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Bagi Fasa Satu, sejumlah 225 buah PPRT bina baharu akan dilaksanakan dan di Ranau merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Paginatan, pada tahun ini akan mendapat 15 buah PPRT bina baharu dan 50 buah baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan) yang bertanya adakah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang membina rumah PPRT dan baik pulih rumah di kawasan Paginatan dalam sidang Dun ke-15 di sini hari ini.

Ewon berkata PPRT adalah di bawah KPLB Persekutuan dan jumlah rumah PPRT bina baharu yang akan dibina adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan. 
 
“Objektif utama PPRT adalah meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih tempat kediaman mereka dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.
 
Sementara itu ketika menjawab soalan lisan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) yang bertanya sama ada masih ada rakyat khususnya luar bandar yang tidak tahu peranan dan program yang disediakan oleh KPLB dan agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan, Ewon berkata KPLB telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti Karnival Usahawan Desa dan Dialog Usahawan Kecil Desa untuk memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan KPLB.
 
Selain itu, katanya KPLB juga menyertai pameran-pameran melibatkan keusahawanan desa seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Pesta Kudat, Pesta Gata Sipitang, Regatta Lepa Semporna, Festival Beaufort, Tadau Kaamatan serta pameran-pameran lain yang dianjurkan oleh kementerian.
 
“Pejabat-Pejabat Daerah di bawah kawal selia pentadbiran KPLB juga turut memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, perkhidmatan dan kepimpinan, rujukan, maklumat, bantuan, penyelarasan pelbagai program kerajaan, pelaksanaan dasar dan undang-undang serta nadi pentadbiran dan imej kerajaan di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar.
 
“Orang ramai juga boleh melayari laman web kementerian http://www.sabah.gov.my/kplb untuk mendapatkan maklumat lanjut.
 
“Justeru, rakyat Sabah termasuk di kawasan pedalaman mempunyai akses maklumat kepada peranan dan program yang disediakan oleh KPLB Sabah,” jelasnya.
 
Beliau berharap pejabat-pejabat perhubungan Wakil Rakyat dapat membantu menghebahkan peranan dan program yang disediakan KPLB.
 
Bagi menjawab soalan Datuk Dr. Joachim Gunsalam (PBS- Kundasang) berkenaan status terkini Ladang Mini Estet Sejahtera (Mesej) Kg Mansalu, Ulu Sugut dan adakah kerajaan bercadang untuk menambah atau membina kemudahan asas di kawasan itu untuk para peserta Mesej, Ewon berkata berdasarkan laporan terkini Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), ladang sawit Mesej Mansalu sudah matang dan boleh dituai yang akan memberi manfaat kepada 23 orang peserta.
 
Katanya lagi kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM17.5 juta di bawah Program Jalan Luar Bandar (JLB) untuk menyelenggara jalan perhubungan ke Mesej Mansalu sejauh 4.70 kilometer yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan telah siap sepenuhnya.
 
“Bagaimanapun, projek perumahan untuk kediaman peserta serta kemudahan infrastruktur lain yang berkaitan hanya dapat disediakan tertakluk kepada peruntukan yang tersedia,” katanya. -SabahNewsToday