Pilih Bahasa

22 DITAHAN DALAM OP PERDANA AADK

Oleh Mohd Adam Arinin

Antara suspek yang ditahan dalam Op Perdana yang dijalankan oleh AADK Sabah di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu. -Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Helah seorang remaja lelaki yang cuba memperdayakan penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam serbuan di kediamannya di Taman Kuala Manggatal dekat sini, gagal apabila dia diberkas dalam operasi itu.

Remaja berumur 16 tahun itu dilihat sengaja menjatuhkan penutup botol dan menadah sedikit air paip untuk dicampurkan dalam bekas yang mengandungi air kencingnya agar keputusan ujian saringan tidak menunjukkan kesan positif.

Anggota AADK menyoal siasat remaja yang cuba menambah air dalam bekas botol ketika serbuan dibuat di Manggatal. Kelihatan ibu suspek sugul melihat anaknya yang terlibat dengan dadah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagaimanapun, anggota Alpha Strike AADK meminta remaja terbabit mengeluarkan air kencing semula dalam bekas yang baharu dan keputusannya didapati positif dadah jenis syabu.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Sabah Joannes Yabin berkata tindakan remaja itu adalah salah satu taktik untuk mendapatkan keputusan air kencing yang negatif dadah.

Salah seorang suspek yang ditahan dalam Op Perdana yang dijalankan oleh AADK Sabah di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita sedia maklum, terdapat pelbagai cara dan tindakan tertentu dari mereka untuk menjadikan keputusan air kencing mereka negatif dadah.

“Remaja terbabit akan dirujuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya selain mengikuti program pengawasan atau dihantar ke pusat pemulihan dibawah Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Op Perdana Siri 1/2019 di Pejabat AADK Kota Kinabalu, Wisma Dang Bandang, di sini hari ini.

Ujian saringan awal air kencing dibuat di setiap lokasi serbuan ketika Op Perdana Siri 1/2019 dijalankan sekitar Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, seramai 33 orang telah ditahan oleh AADK dalam operasi yang bermula petang semalam dan tamat awal pagi tadi.

Joannes berkata daripada 33 individu yang ditahan itu seramai 22 daripadanya positif saringan air kencing dan seramai 18 individu didapati positif dadah jenis syabu manakala empat positif dadah jenis ganja.

Menurut beliau Op Perdana itu dijalankan di enam lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk Kampung Cenderamata di Likas, Kampung Kalansanan di Inanam, Kampung Unggun Jaya, Taman Kuala Menggatal, serta Kampung Lokub di Menggatal.

Salah seorang suspek ketika ujian saringan awal air kencing dibuat. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambah Joannes, tiga daripada yang postif akan diserahkan kepada pihak polis atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) dan Sekyen 6(2) akta yang sama.

“Selain daripada Op Perdana ini, kita juga akan terus menjalankan Op Cegah di seluruh daerah di Sabah dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kehidupan masyarakat kita.” jelasnya. 

Operasi berdasarkan aduan dan risikan oleh AADK Sabah dengan kekuatan seramai 23 anggota itu berakhir pada 4.30 pagi tadi. – SabahNewsToday