Pilih Bahasa

22 individu termasuk pengedar dadah ditahan di Tuaran

Oleh Junaidi Ladjana

TUARAN: Polis manahan seramai 22 individu termasuk seorang pengedar dalam operasi selama dua minggu yang berakhir, semalam.

Semua suspek berusia 25 hingga 45 tahun ditahan di kawasan perumahan Taman Telipok Ria, Sri Rugading, Kampung Tambalang dan Sungai Damit.

Antara individu yang ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam Op Tapis dan Sarang di Tuaran. Gambar SNT/Ihsan IPD Tuaran

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 28 operasi Op Tapis dan Sarang dijalankan.

“Hasil operasi itu menahan 22 individu iaitu seorang pengedar dadah, empat individu memiliki dadah dan 17 individu lain ditahan kerana dikehendaki bagi mengekang masalah dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

“20 individu yang ditahan dikenal pasti sebagai warga tempatan manakala dua warga asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 5.86 gram dadah dianggarkan bernilai RM879 mengikut harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya. -SabahNewsToday