Pilih Bahasa

22 pemilik premis dikesan curi elektrik, SESB Tawau rugi RM300 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerugian RM300,000 selepas mendapati 22 pemilik premis di sekitar daerah ini mencuri bekalan elektrik dengan melakukan usikan pemasangan meter elektrik bagi mengurangkan bayaran bil setiap bulan.

Operasi Meter selama enam hari bermula 14 April itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan kakitangan SESB melalui risikan, aduan orang ramai, laporan yang dikeluarkan SESB, dan analisis akaun.

Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir Abdul Nasser Abdul Wahid (tengah) bersama pegawai-pegawai SESB menunjukkan meter elektrik yang sudah diubah suai. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata kes ini banyak dikesan di premis makanan ekoran penggunaan tenaga elektrik yang banyak diperlukan.

“Daripada 208 premis yang diperiksa, 22 premis didapati melakukan usikan meter elektrik hingga menyebabkan syarikat SESB kerugian hampir RM300,000.

Antara rampasan dalam Operasi Meter yang dijalankan di sekitar daerah Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Kita mendapati premis seperti restoran adalah yang paling banyak melakukan usikan meter elektrik supaya dapat mengurangkan kos membayar bil elektrik setiap bulan,”katanya dalam sidang media semalam.

Beliau juga yakin pemilik premis mengupah juruteknik profesional dalam bidang elektrik bagi melakukan usikan pada meter elektrik terbabit.

Antara rampasan dalam Operasi Meter yang dijalankan di sekitar daerah Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Usikan pada meter berkenaan hanya boleh dilakukan oleh juruteknik yang berkemahiran dalam bidang elektrik kerana ia boleh menyebabkan berlakunya renjatan elektrik atau kebakaran jika tersalah teknik.

“Pihak SESB juga akan membuat tuntutan kerugian hasil kepada pemilik premis berkenaan dan tindakan mahkamah juga akan dikenakan,” katanya.

Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir Abdul Nasser Abdul Wahid menunjukkan bahagian meter elektrik yang diubah untuk mengurangkan jumlah bayaran bil elektrik setiap bulan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Menurutnya, semua pemasangan meter elektrik yang diusik dirampas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dibawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya menghentikan gejala curi elektrik atau usik meter elektrik kerana ia boleh mendatangkan kerugian utiliti syarikat sesb, mengganggu operasi bekalan elektrik, serta berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan kebakaran atau renjatan elektrik,”jelasnya.

Terdahulu, beliau berkata hasil operasi dijalankan di Sabah daripada Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 474 pemeriksaan premis dilakukan dan mendapati 200 kes usikan elektrik dikesan membabitkan kerugian RM630,000. –SabahNewsToday