Pilih Bahasa

240 penduduk Kinabatangan terima geran tanah

Oleh Sabah News Today

KINABATANGAN: Seramai 240 orang penduduk di daerah ini akhirnya menerima geran tanah Anak Negeri (NT) masing-masing setelah puluhan tahun menduduki tanah itu.

Majlis penyerahan geran tanah dengan jumlah keluasan 478.499 hektar itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Apdal di Dewan Sri Lamag di sini hari ini.

Shafie menyerahkan geran tanah kepada salah seorang wakil penduduk kampung di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Melibatkan 36 buah kampung melalui ianya adalah hasil program Pengukuran Tanah Pendudukan Anak Negeri Sabah (Pantas) yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

Program Pantas adalah program untuk menangani masalah tuntutan Hak Adat Anak Negeri (NCR) yang telah diduduki sekian lama oleh Anak Negeri, mengukur kawasan tersebut dan seterusnya mengeluarkan geran tanah.

Daripada 240 geran tanah tersebut, sebanyak 99 adalah untuk tujuh buah kampung di kawasan Bukit Garam dan tiga buah kampung di sepanjang Jalan Sandakan hingga Lahad Datu.

Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg Sentosa Jaya, Kg Perpaduan, Kg Batu Putih, Kg Sinar Jaya, Kg Nusa Jaya, Kg Usaha Jaya, Kg Sri Manis, Kg Buang Sayang, Kg Berjaya 1 dan Kg Berjaya 2.

Shafie bersama wakil penerima geran tanah di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan hari ini. Gambar SNT/Ihsan JKM

Manakala 141 Geran Tanah adalah hasil daripada Permohonan Tanah biasa yang diluluskan dibawah Part IV, Ordinan Tanah Sabah yang melibatkan 26 perkampungan di sekitar daerah itu.

Antara kawasan perkampungan yang terlibat ialah di kawasan Sg. Balat, Kg Bilit , Kg. Sukau, Sg Bogologos, Bukit Garam, Sg Kretam Besar, Kg Litang, Koyah, Kg Tagupeh dan Sg Tebalian.

Salah seorang penerima, Mohamad Asmarah, 59 berasal dari Kampung Sinar Jaya meluahkan rasa bersyukur atas penyerahan tanah tersebut kerana penantian beliau sejak 40 tahun lalu membuahkan hasil.

“Dengan adanya penyerahan geran tanah ini saya tidak lagi risau. Umpama kami sudah merdeka kerana tanah ini sudah pasti hak milik kami yang kami boleh usahakan hasilnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan geran tanah.

Terdahulu, Shafie ketika bercakap kepada media menjelaskan usaha untuk mengembalikan hak rakyat di negeri ini akan terus dilaksanakan khasnya dalam memberi geran tanah kepada rakyat yang telah sekian lama menduduki tanah tersebut.

Jelas beliau, sejak tahun lalu lebih 10,000 geran tanah telah disediakan untuk diserahkan kepada rakyat.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Ukur, Bernard Liew Chau Min, Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaime Hj Ejip dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supritenden Dzulbahrin Ismail.-SabahNewsToday